Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan politikkan harga barang mahal
Diterbitkan:  Jan 10, 2009 5:42 PM
Dikemaskini: Jan 11, 2009 8:52 AM

Jangan jadikan isu kenaikan harga barangan sejak tahun lepas sebagai bahan kempen PAS untuk meraih undi dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, pesan Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata harga barangan tidak mampu dikawal sepenuhnya oleh kerajaan walaupun pelbagai langkah menanganinya telah diambil, lapor Bernama .

Langkah-langkah seperti kawalan harga bagi barangan keperluan dan kempen penurunan harga telah dibuat tetapi terpulang kepada peniaga untuk menurunkan harga secara sukarela, manakala terserah kepada pengguna menggunakan kuasa membeli mereka.

"Kita mesti ingat bahawa kawalan harga dan bekalan barang-barang yang dilakukan secara undang-undang pun terhad kepada barangan yang perlu seperti beras, tepung, gula dan minyak.

"Yang kita (kerajaan) tak boleh kawal ialah barangan makanan segar seperti sayur atau ikan yang bergantung kepada keadaan bekalan atau cuaca dan juga barang makan yang dimasak yang ditetapkan harganya oleh pengusaha masing-masing.

"Kalau kita nak turunkan, ia lebih bergantung kepada kuasa kepenggunaan itu," katanya selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.

Shahrir menambah, beliau yakin pengundi tidak akan terpedaya dengan helah PAS untuk mempolitikkan isu kenaikan harga barang kerana mereka lebih faham dan sedar tentang keadaan ekonomi ketika ini.

"Kalau cakap politik, kita nak cari kelemahan orang atau kerajaan memang mudah, tapi kita kena sedar apa yang mampu dan yang tak mampu kita buat dan kita kena ambil tindakan yang rasional untuk menambah baik keadaan seperti bekalan barang dan sebagainya," beliau dipetik berkata.

Pilihanraya kecil parlimen pada 17 Januari ini menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Azam.

ADS