Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 DUN kosong: Speaker Perak serah surat kepada SPR
Diterbitkan:  Feb 2, 2009 10:43 AM
Dikemaskini: 11:21 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar telah memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak mengenai kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang.

Beliau menemui pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak, Adli Abdullah jam 8 pagi ini.

perak deputy speaker sivakumar and osman and jamaluddin Semalam, Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Jamaluddin bagaimanapun menafikan beliau telah meletak jawatan dan masih kekal sebagai ahli dewan undangan negeri.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri turut mencabar kesahihan surat tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Mohamad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak pagi ini.

Pertemuan tersebut berlangsung selama 25 minit di Istana Kinta pada jam 10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan bercakap dengan pemberita berhubung pertemuan tersebut.

Penafian

Difahamkan Jamaluddin dan Osman akan mengadakan sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Ahmad Adli yang dihubungi Bernama hari ini mengesahkan menerima surat itu dan akan menyerahkan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk tindakan selanjutnya.

Menyentuh mengenai kesahihan kedudukan kedua-dua kerusi itu berikutan penafian oleh Jamaluddin dan Mohd Osman, Ahmad Adli berkata beliau menyerahkan kepada pengerusi SPR untuk membuat keputusan tersebut.

"Memandangkan hari ini cuti umum di Putarajaya (sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan), saya jangkakan keputusan akan dibuat esok mengenai kedudukan kedua-dua kerusi itu," katanya.

Bernama juga melaporkan Nizar yang keluar dari kawasan dengan menaiki kereta rasmi barunya Toyota Camry bernombor plet AGS 10, hanya mengucapkan 'terima kasih, kita jumpa pada lain kali' kepada seorang jurugambar yang merakamkan gambarnya yang sedang melambai tangan kepada pihak media.

Terdahulu, di majlis "executive talk" oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din untuk kakitangan kerajaan negeri di Bangunan Darul Ridzuan di Ipoh, Mohammad Nizar enggan menemui pihak media yang menunggunya sejak awal pagi dan telah bergegas keluar pada jam 9.45 pagi untuk mengadap Sultan Perak.

Jamaluddin dan Osman menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan ermohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.

Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di Ipoh selama tiga ari bermula 10 Februari ini.

Ketika ini, Pakatan Rakyat Perak mempunyai 32 Adun termasuk Adun Bota, atuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lalu, manakala BN dianggotai 27 DUN.

ADS