Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan Pakatan Perak bergoncang
Diterbitkan:  Feb 4, 2009 2:47 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

kemaskini 6:50pm Kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakyat bergoncang kuat hari ini setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meninggalkannya - tiga daripadanya kini wakil rakyat bebas.

Ia akan tumbang pada bila-bila masa, ibarat telur di hujung tanduk - hanya menunggu Datuk Seri Najib Razak menghadap Sultan Perak untuk memaklumkan majoriti baru yang diperolehinya hari ini.

Difahamkan beliau akan ke istana Sultan Azlan Shah esok.

Timbalan perdana menteri mengumumkan empat wakil rakyat itu - termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR selama 10 hari - menyokong pembentukan kerajaan baru BN.

najib announce new bn perak state govt 040209 Najib mengadakan sidang akhbar khasnya jam 4.45 petang tadi di Putrajaya bersama keempat-empat Adun tersebut.

Dalam sidang media tergempar di pejabatnya kira-kira 3 petang tadi, Menteri Besar Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menyatakan Nasarudin "telah diculik".

Nasarudin bagaimanapun menafikannya apabila ditanya media ketika sidang akhbar di Putrajaya itu.

Mohd Nizar menambah, beliau bersama 27 lagi Adun Pakatan berharap Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, selepas menghadap baginda hampir dua jam di Istana Kintat di Ipoh, beliau berkata "terserah kepada tuanku".

Krisis politik di negeri itu dijangkakan belum berakhir dengan perpindahan empat Adun tersebut. Diura-urakan beberapa lagi wakil rakyat Pakatan di Perak akan menyatakan sokongan kepada BN.

Susulan perkembangan mengejutkan itu, kerusi Pakatan di DUN Perak kini tinggal 28, sama dengan jumlah kerusi BN yang disokong oleh tiga Adun bebas.

Desas-desus dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) - pertengahan minggu lalu berkemungkinan menyertai Umno kemudiannya.

Adun Jelapang, Hee Yit Foong mengesahkan turut keluar DAP pagi tadi, justeru mencemaskan kerajaan Pakatan itu dan mendesaknya membuat pilihan terakhir - ingin membubarkan DUN.

ADS