Pakatan: Rampasan kuasa BN 'biadap'

Barisan pemimpin atasan Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan mengosongkan pejabat rasmi menteri besarnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai "rampasan kuasa yang biadap."

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut," kata tiga pemimpin kanan tiga parti gabungann itu dalam satu kenyataan bersama.

pakatan rakyat pc perak situation 060209 anwar ibrahim lim kit siangMereka merujuk kenyataan Mohammad Nizar pagi ini selepas ke pejabatnya dan mendapati ia telah dikosongkan dan "barang- barangnya telah diambil tanpa notis dan tanpa kebenaran serta pengetahuannya."

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata mereka akan mencabar legitimasi pelantikan menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.

Mereka juga menyeru orang ramai yang tidak berpuas hati dengan babak-babak peralihan kuasa di negeri Pakatan itu "bertindak secara aman dan tertib."

Sebelum itu, dalam sidang media mereka di Petaling Jaya (foto) sejurus selepas majlis angkat sumpah Dr Zambry, Anwar berkata Pakatan masih menerima tindakan lompat parti kerana peraturan sekarang mengharamkan wakil rakyat meletakkan jawatan.

hadi awang interview 040208 forwardDalam kenyataan berasingan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membantah keputusan Sultan Perak menitahkan Mohammad Nizar melepaskan jawatannya semalam.

"Mohammad Nizar hanyalah boleh diturunkan daripada kedudukannya sebagai menteri besar menerusi undi tidak percaya yang dilakukan
di Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa ia bersidang," katanya.

"PAS berpendapat bahawa suasana kekalutan yang sedang berlaku di Perak pada masa kini boleh dielakkan daripada menjadi lebih buruk sekiranya prinsip asas yang merujuk undang-undang negeri dan Perlembagaan Persekutuan dijadikan rujukan."

Tambah Abdul Hadi, PAS yakin bahawa jika permohonan menteri besar Pakatan Rakyat itu untuk membubarkan DUN diterima, maka suasana tegang dan boleh menuju kepada satu krisis perlembagaan boleh dielakkan.

Beliau juga menyeru para penyokongnya di seluruh negara bertenang dan "tidak terjebak dalam perangkap provokasi" yang mungkin ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu.


Baca berita penuh

Berikut kenyataan penuh mereka:

Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa kesal terhadap tindakan biadap rampasan kuasa di Perak termasuk layanan terhadap YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak di mana semua barangan telah dirampas dari pejabat beliau.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.

Kami akan memfailkan satu saman bagi mencabar keabsahan pelantikan menteri besar yang baru dari Barisan Nasional.

Panel peguam sedang mengkaji tindakan ini.

Kami masih berpendirian bahawa YAB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.

Pada ketika ini pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini.

Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional.

Kami menggesa kepada semua agar bertindak secara aman dan tertib.

Kami merayu agar pihak polis bertugas secara profesional dan tidak menimbulkan sebarang provokasi atau huru-hara.

YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang / Ketua Umum PKR

YB Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen DAP

YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.