Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

dikemaskini Selepas beberapa jam melepas jawatan exco kerajaan negeri Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan malam ini bahawa V Arumugam turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau.

Menurutnya, peletakan jawatan Arumugam itu berkuatkuasa serta merta.

Arumugam Vengatarakoo pkr kedah Sehubungan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Dr Abd Isa Ismail akan memaklumkan kekosongan kerusi tersebut kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan dalam masa 60 hari.

Petang tadi, Azizan mengumumkan bahawa Arumugam telah melepaskan jawatan exco kerajaan negeri.

Ketika dihubungi Malaysiakini malam ini, Dr Abd Isa berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan Arumugam pada jam 6 petang tadi yang dihantar oleh wakilnya.

Menurutnya, menteri besar telah menyembahkan perkara itu kepada Sultan Kedah tadi.

Menurut Dr Abd Isa beliau akan menghantar surat kepada SPR esok untuk memaklumkan mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau itu.

Dalam sidang akhbar malam ini, menteri besar berkata Arumugam meletakkan jawatan akibat tekanan dari pihak Barisan Nasional.

Katanya, tekanan itu agak berat sehingga mengancam dirinya (Arumugam) dan keluarganya.

Oleh itu, katanya, Arumugam mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan exco kerajaan negeri dan Adun Bukit Selambau.

Keputusan Arumugam hari ini ekoran spekulasi sejak kebelakangan ini bahawa beliau akan menamatkan karier politiknya.

Baru-baru ini, beliau mendakwa berdepan dengan ugutan supaya meninggalkan Pakatan Rakyat untuk menyertai BN.

Difahamkan Arumugam tunduk ekoran dakwaan tekanan hebat terhadapnya dan keluarganya supaya melompat menyertai BN.

Awal bulan ini, Arumugam telah membuat laporan polis mendakwa, antara lain, terdapat percubaan untuk menculiknya.

Arumugam juga mendakwa beliau dan pegawainya telah menerima banyak ugutan.

"Semua ini dilakukan untuk memaksa saya meninggalkan PKR dan menyertai BN," dakwanya dalam laporan polisnya itu.

Katanya, selain ugutan, beliau juga ditawarkan dengan tawaran lumayan untuk memujuknya meninggalkan PKR.

Minggu lalu, desas-desus timbul semula mengenai Arumugam akan meninggalkan PKR, apabila beliau tidak dapat dihubungi. Rakan-rakannya dalam PKR berkata Arumugam sedang bercuti.

Kedah turut tumbang kepada pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi di DUN negeri. BN pula mempunyai 14 kerusi.

Daripada 22 kerusi tersebut, 16 dimenangi PAS, PKR (5) dan DAP (1).

Arumugam yang bertanding sebagai calon bebas, kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sbagai ahli exco kerajaan negeri.

Tawaran habuan RM5 juta

azizan abdul razak Sementara itu, Bernama melaporkan Azizan berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan Arumugam itu bertarikh 8 Februari dan diterima oleh beliau pada 5 petang tadi yang lengkap dengan tandatangan dan cop Pesuruhjaya Sumpah.

"Dukacita saya memaklumkan bahawa beliau (Arumugam) telah meletakkan jawatan sebagai Adun Bukit Selambau dan juga Anggota Exco Kerajaan negeri berkuat kuasa serta merta," kata beliau pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini.

Azizan berkata sepucuk surat peletakan jawatan wakil rakyat itu turut diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Dr Abd Isa.

Dr Abd Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbudin dan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah Ahmad Kassim turut menghadiri sidang media itu.

Azizan berkata Arumugam, menerusi seorang wakilnya, telah menghantar dua pucuk surat iaitu sepucuk mengenai peletakan jawatan Adun yang ditujukan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri dan sepucuk lagi kepada beliau untuk memaklumkan peletakan kedua-dua jawatan iaitu exco kerajaan negeri dan Adun.

"Saya telah memaklumkan kepada Tuanku (Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) dan persembahkan surat peletakan jawatan Arumugam itu," katanya.

Beliau berkata Speaker Dewan Undangan Negeri akan memaklumkan mengenai peletakan jawatan Adun itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan pilihanraya kecil kawasan berkenaan diadakan.

Ditanya mengenai sebab peletakan jawatan itu, Azizan berkata antara kandungan surat Arumugam ialah beliau mendakwa tidak lagi tahan dengan ugutan oleh pelbagai pihak, termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili pemimpin Barisan Nasional (BN) menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.

"Saya hormati pendiriannya dan menolak habuan RM5 juta itu dan menurut surat itu, beliau (Arumugam) telah menerima pelbagai ugutan sejak Mac 2008 lagi dan disebabkan tidak lagi tahan dengan ugutan dan demi keselamatan keluarganya,

Azizan berkata beliau masih belum dapat menghubungi Arumugam sehingga sekarang dan beliau sedih dengan apa yang berlaku kerana menyifatkan Arumugam sebagai seorang wakil rakyat yang baik.

Mengenai tindakan Arumugam yang meletak jawatan, Azizan berkata: "Ia adalah amalan biasa dalam kalangan ahli politik, ramai orang meletak jawatan dan ia bukanlah sesuatu yang baru."

Mengenai sama ada terdapat kemungkinan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat akan melompat parti menyertai BN, beliau berkata: "Sekarang memang begitu rancak lompat-melompat dan orang 'offer untuk cross over' tetapi kena ingat ada 'traffic light'".

Petisyen salahlaku

Arumugam adalah pesara mekanik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pada pilihanraya umum ke-12 tahun lepas, beliau bertanding atas tiket bebas serta memenangi kerusi DUN Bukit Selambau setelah mengalahkan calon BN S.Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Beliau muncul sebagai calon bebas di saat-saat akhir hari penamaan calon setelah borang pencalonan wakil PKR Saiful Izham Ramli ditolak oleh SPR atas masalah teknikal.

Arumugam kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Baru-baru ini sekumpulan lelaki yang mendakwa mewakili 500 penduduk Taman Ria di Sungai Petani menghantar petisyen mengenai salah laku seorang anggota Exco kerajaan negeri kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Mereka mendakwa anggota exco berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang telah berkahwin dan mempunyai anak.

Arumugam gagal dihubungi dan enggan menjawab sebarang panggilan telefon, termasuk daripada Menteri Besar dan wartawan manakala rumahnya di Sungai Petani telah kosong sejak dua hari lepas.

ADS