Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno mahu balik kerusi Bkt Selambau
Diterbitkan:  Feb 11, 2009 2:18 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Umno Bahagian Merbok hari ini mencadangkan agar calon daripada Umno dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Selambau.

Ketuanya Datuk Tajul Urus Md Zain berkata kerusi DUN Bukit Selambau pernah diwakili oleh Umno sebelum ia diberikan kepada MIC selama empat penggal.

bm version bukit selambau state seat 090209 "Setelah empat penggal, MIC kini tidak lagi mempunyai pengaruh di kawasan itu dan kita telah menerima maklum balas daripada pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan wakil daripada Umno untuk bertanding," katanya kepada Bernama hari ini.

Bukit Selambau merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam kawasan Parlimen Merbok dan kawasan DUN itu dikosongkan ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya V Arumugam Isnin lepas.

Arumugam yang menang atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu, kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri sebelum meletakan kedua-dua jawatan itu atas alasan tidak tahan dengan ugutan pihak tertentu.

Awal bulan ini, Arumugam telah membuat laporan polis mendakwa, antara lain, terdapat percubaan untuk menculiknya.

Arumugam juga mendakwa beliau dan pegawainya telah menerima banyak ugutan.

Arumugam Vengatarakoo "Semua ini dilakukan untuk memaksa saya meninggalkan PKR dan menyertai BN," dakwanya dalam laporan polisnya itu.

Katanya, selain ugutan, beliau juga ditawarkan dengan tawaran lumayan untuk memujuknya meninggalkan PKR.

Kedah turut tumbang kepada pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi di DUN negeri. BN pula mempunyai 14 kerusi.

Daripada 22 kerusi tersebut, 16 dimenangi PAS, PKR (5) dan DAP (1).

Sementara itu, Tajul Urus berkata Umno percaya sudah tiba masanya kerusi DUN berkenaan diberi semula kepada parti itu kerana jumlah pengundi Melayu melebihi 50 peratus.

Katanya mesyuarat khas Umno Bahagian yang diadakan malam tadi juga memutuskan untuk memohon pertimbangan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar memilih calon BN daripada Umno untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN itu.

Dalam pilihanraya umum lepas, kawasan DUN itu mencatatkan jumlah pengundi seramai 34,977 orang dan daripada jumlah itu, seramai 17,607 pengundi adalah Melayu, 9,688 pengundi kaum India, 7,386 pengundi Cina dan 296 pengundi keturunan lain.

Arumugam memperoleh 13,225 undi dan mengalahkan calon BN daripada MIC S Krishnan yang memperolehi 10,863 undi.

ADS