Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini sekali lagi menegaskan bahawa status pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih di peringkat penelitian.

"Atas kapasiti sebagai menteri pelajaran, (saya boleh katakan) kita sedang kaji dan teliti respons dari pelbagai pihak," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen.

Beliau mengulas laporan polis Gabungan Penulis Nasional (Gapena) terhadap Kementerian Pelajaran di Balai Polis Brickfields semalam atas alasan PPSMI bertentangan dengan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Hishamuddin turut membayangkan kemungkinan dasar itu akan diubahsuai, bukan ditolak atau diteruskan secara penuh.

"Enam tahun (PPSMI dijalankan), sudah tiba masanya sekarang kita menilai dasar tersebut. Apa yang patut kita ubahsuai, kita ubahsuai. (Ia) bukan sesuatu yang kita buat keputusan hitam dan putih, ataupun ya atau tidak," katanya.

Serah memo

Hishamuddin juga menyifatkan tindakan Gapena itu sebagai perkara biasa dan kerajaan bersikap terbuka terhadap perkara itu.

"Itu adalah perkara biasa.. Itu hak mereka (Gapena). Saya sudah nyatakan, usaha mendampingi pihak berkepentingan akan berterusan.

"Mensyuarat-mesyuarat meja bulat telah diadakan dan keputusan tentang dasar ini bukan atas keputusan saya sendiri. (Ia) masih perlu dibentangkan di peringkat jemaah menteri, setelah diambil kira pandangan semua pihak," katanya.

Sementara itu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan ke parlimen pagi esok untuk menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan PPSMI kepada semua wakil rakyat.

Dalam kenyataannya kepada media petang ini, pengerusi jawatankuasa induk gerakan itu, Datuk Dr Hassan Ahmad akan mengetuai penyerahan memorandum tersebut.

Manakala Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan profesor matematik, Dr Shahril Mohd Zain juga dijadual hadir.

Pada 7 Mac depan, mereka merancang mengadakan perhimpunan raksasa untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campurtangan baginda dalam isu tersebut.

ADS