Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan ketua Umno bahagian Bukit Gantang, Kamarulail Sulaiman menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon terbaik untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang 7 April depan.

bm version bukit gantang parliamentary seat 090209 Katanya, beliau menerima apa sahaja keputusan parti mengenai perkata tersebut asalkan ia membawa kebaikan kepada parti.

“Tetapi kita perlu meletakkan calon yang boleh diterima oleh pengundi Bukit Gantang.

“Kalau calon yang hebat tetapi kalah dalam pilihanraya tidak guna juga,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kamarulail antara tiga nama yang disebut-sebut telah disenaraikan untuk dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang.

Dua orang lagi ialah naib ketua bahagian, Mohd Kamaruddin Abu Bakar dan bekas ketua penerangan bahagian, Ismail Saffian.

Pilihanraya Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum dari PAS awal bulan ini.

'Calon paling popular'

Kamarulail berkata, ketiga-tiga nama yang disebut itu mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa Ismail menjadi calon paling popular untuk bertanding di Bukit Gantang, Kamarulail berkata: “Kalau calon yang hebat tetapi kalah, tidak guna.

“Masing-masing ada kelebihan, yang penting Umno menang kerusi Bukit Gantang,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Kamarulail yang juga pensyarah di Kolej Islam Perak berkata, beliau akur dengan keputusan parti untuk memilih sesiapa sahaja menjadi calon BN.

Katanya, soal siapa yang menjadi calon tidak penting tetapi yang perlu diutamakan ialah BN merampas semula kerusi Bukit Gantang dari PAS.

Sementara itu, Ismail ketika dihubungi berkata, beliau sedia memikul tanggungjawab menjadi calon BN jika dipilih oleh parti.

Iktibar dari KT

“Saya bukan melobi hendak menjadi calon tetapi saya mempunyai pengalaman dua penggal sebagai pengarah pilihanraya BN Bukit Gantang dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008.

“Saya juga sudah 24 tahun dalam Umno Bukit Gantang,” katanya.

Ismail berkata, baru-baru ini ibu pejabat Umno menelefonnya berhubung pemiihan calon BN untuk parlimen Bukit Gantang.

“Saya diberitahu supaya berjumpa dengan masyarakat, siapakah calon yang mereka hendak.

“Jangan pilih ikut suka hati mengikut kehendak mereka sahaja tanpa mengambil kira pandangan pengundi.

“Jangan jadi seperti pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kita tetap dengan calon kita, walaupun tahu rakyat tidak suka,” katanya.

ADS