Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Seri Tajuddin Ramli, bekas Pengarah Urusan syarikat penerbangan nasionl, Malaysia Airlines (MAS) telah menyaman balas kerajaan Malaysia, Danaharta dan pelbagai syarikat dan individu menuntut gantirugi sebanyak RM13.46 bilion. Sebelum ini beliau telah disaman oleh Danaharta sebanyak RM569 juta. Saman balas Tajuddin ini adalah yang terbesar dalam rekod.

Kenapa Tajuddin menyaman balas? Seperti yang didakwa oleh Tajuddin di dalam Affidavit bertarikh 29 Jun 2006 kerajaan telah memungkiri peruntukan yang memberi perlindungan mutlak kepada beliau di dalam satu perjanjian sulit yang dipanggil overriding agreement yang ditandatangani di belakang tabir di antara beliau dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin yang masing-masing pada ketika itu adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Perjanjian itu berkaitan dengan pembelian 32 peratus saham MAS oleh Tajuddin dari Bank Negara Malaysia.

Intisari overriding agreement itu ialah dengannya Tajuddin mendapat jaminan bahawa beliau bebas dari memikul apa jua liabiliti termasuk kerugian kewangan sekiranya berlaku perkara yang negatif ke atas MAS yang sahamnya telah dibeli oleh Tajuddin atas arahan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Atas jaminan ini Tajuddin telah mengambil pinjaman peribadi bagi membayar harga pembelian itu bernilai RM1.8 bilion.

Akibatnya, Tajuddin menjadi peminjam perseorangan yang terbesar di Malaysia. Tetapi janji ini telah tidak ditepati oleh kerajaan. Bila kerajaan membeli balik 32 peratus saham MAS itu daripada Tajuddin dalam tahun 2001, beliau dibiarkan menanggung pelbagai liabiliti sehingga beliau disaman oleh Danaharta dan terpaksa menjual syarikat miliki beliau pada forced-sale price.

Akhbar New Straits Times (7 Julai 2006) menyifatkan pendedahan ini sebagai; "...likely to send tremors through the corridors of business and politics." Akhbar internet Sun2Surf pada 6 Julai pula menyifatkan pendedahan Tajuddin sebagai satu bombshell .

Pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang menuduh Tun Daim telah berbohong: "Daim had deceived parliament and the nation when he allegedly made false claims in the Dewan Rakyat on March 21, 2001 over the RM1.8 billion buy-back of MAS shares by the Government. that Daim as finance minister at that time, claimed that no special considerations were given to Tajuddin in buying back the MAS shares from Naluri." (NST, 7 Julai 2006).

Nampaknya, kes ini merupakan satu skandal melibatkan pemimpin atasan dan kerajaan yang ada perlu mengambil tindakan yang wajar.

Tajuddin memfailkan saman melalui peguam Lim Kian Leong & Company pada 29 Jun 2006. Kes ini berprofail tinggi kerana ia melibatkan tiga personaliti besar, iaitu, bekas ahli korporat ternama, bekas Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO, Tun Daim Zainuddin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhamad, sebuah institusi terpenting, iaitu, Bank Negara Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), MAS.

Selepas bersara Tun Daim kembali ke dunia perniagaan. Beliau mempunyai rangkaian perniagaan dalam dan luar negeri. Khabarnya, beliau memiliki bank di Afrika dan Indonesia. Sebagai Bendahari UMNO, beliau juga telah memperkayakan parti itu sehingga menjadi parti politik yang terkaya di Malaysia dengan rangkaian perniagaan yang cukup besar melalui, proksi-proksinya.

Tun Dr. Mahathir dapat pencen sebanyak RM10,000 sebulan beserta pelbagai kemudahan lengkap disediakan kerajaan. Hanya Tajuddin yang kena saman dan dibiarkan menanggung kerugian besar.

Perkara yang menggemparkan dalam pendedahan Tajuddin ialah kes penjualan saham MAS melibatkan satu institusi yang amat penting di dalam ekonomi dan ini belum pernah diketahui umum selama ini, iaitu, bank pusat. Watak yang terlibat tentunya arwah Tan Seri Jaffar Hussein (foto atas) dan Tan Seri Nor Mohamed Yackop, orang kepercayaan beliau. Mereka adalah culprit yang telah menyebabkan Bank Negara kerugian berbilion-bilion ringgit dalam illegal foreign exchange speculations dalam awal tahun 1990an.

Berasaskan tindakan yang telah diambil oleh Bank Negara (diberhentikan kerja), kedua-dua mereka terkait sebagai "arkitek utama" kepada kerugian terbesar dalam sejarah bank pusat. Skandal ini tidak pernah disiasat secara muktamad oleh badan penyiasat bebas. Hasil siasatan dalaman pun tidak pernah didedahkan.

Walau pun perbuatan berspekulasi itu terang-terang melanggar peraturan Bank Negara dan mengikut pakar pasaran pertukaran asing, melanggar segala norma pasaran dan akibat darinya telah menyebabkan kerugian berpuluh-puluh bilion ringgit, Nor Mohamed Yackop didenda hanya dengan "denda buang kerja" dan "tidak dibenarkan bekerja di dalam mana-mana institusi kewangan." Selepas dibuang kerja oleh Bank Negara, beliau berkerja seketika dengan Rashid Hussein Securities, sebuah syarikat broker saham (juga dikira sebagai sebuah institusi kewangan).

Beliau berhenti dan diambil bekerja oleh Abrar Group International di pertengahan tahun 1990an. Berikutan degan krisis kewangan 19997-98, beliau "dipanggil kembali" ke Bank Negara, mungkin memandangkan kepakaran beliau dalam bidang pertukaran asing, sebagai penasihat khas bekerja di bawah Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara dalam perumusan dan pelaksanaan dasar peg exchange rate.

Tugas ini telah mengubah nasib beliau dari "the pariah of the central bank" kepada "the trusted economic adviser of the Prime Minister." Jasa beliau ini dibalas dengan jawatan Menteri Kewangan Kedua.

Sekarang dapatlah kita gambaran bahawa tidak mustahil kalau dikatakan bahawa " illegal speculation activities in the international foreign exchange market" yang dijalankan oleh Bank Negara di bawah pimpinan Gabenor Tan Seri Jaffar Hussein ketika itu dan dilaksanakan oleh Nor Mohamed Yackop mendapat restu pimpinan tertinggi negara. Tanggapan ini semakin kuat apabila di sana didapati tiada penyiasatan peringkat tertinggi dibuat dan cadangan supaya kes itu disiasat oleh badan penysiasatan diraja ditolak.

Nor Mohamed nampaknya "dilindungi" dan kemudiannya dibawa kembali ke Bank Negara dan akhirnya diberi jawatan menteri dalam kabinet Abdullah Badawi. Ramai pihak bertanya: Bagaimanakah seorang yang memiliki rekod yang begitu cemar boleh berada di dalam kabinet?

Tan Seri Jaffar Hussein "berundur" dari Bank Negara dan diberi jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PNB. Beliau pada awal pengumuman mengenai kerugian Bank Negara memberi tahu bahawa "kerugian itu hanyalah kerugian di atas kertas" tetapi ternyata ini satu ungkapan yang mengelirukan rakyat kerana kemudiannya, kerugian di atas kertas tiba-tiba bertukar menjadi kerugian sebenar berjumlah berbilion ringgit. Tan Seri Jaffar diserang sakit jantung tidak lama kemudian. Kesihatan beliau pulih buat sementara. Beliau jatuh sakit lagi dan meninggal dunia pada tahun 1996.

Kesilapan besar beliau semasa menerajui Bank Negara ialah teralu percaya kepada Nor Mohamed dan gagal mengesan pelanggaran-pelanggaran peraturan Bank Negara dan norma-norma pasaran. Beliau juga gagal mengesan penyelewengan dan pemalsuan dalam laporan-laporan kedudukan transaksi pertukaran wang asing.

Sumber rapat dengan Bank Negara menyatakan bahawa kerugian telah dikesan oleh pegawai bawahan tetapi kerana ia disorokkan dari pengetahuan Gabenor, tiada tindakan wajar dapat diambil bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar. Nor Mohamed juga dikatakan berspekulasi dengan menggunakan akuan-akaun urusniaga pegawai-pegawai bawahan beliau bagi mengelak pengesanan.

Perbelanjaan tertangguh

Sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Tahun 1993, Bank Negara menanggung kerugian operasi sebanyak RM712 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 1993. Ini bukan kerugian yang sebenar kerana kerugian akibat bermain "judi" di dalam pasaran pertukaran wang antarabangsa itu terlalu besar ( mind-boggling ) untuk diakui oleh kerajaan dan untuk didedahkan kepada rakyat.

Oleh itu, ia telah disorokkan di dalam satu item perakaunan yang "luar biasa" dipanggil " deferred expenditure " atau perbelanjaan tertangguh. Perbuatan ini mengelirukan orang ramai dan boleh dianggap tidak beretika malah berunsur jenayah kerana kerugian dilaporkan sebagai perbelanjaan.

Di bawah tajuk "perbelanjaan tertangguh" itu diletakkan jumlah RM5.7 bilion. Di belakang tabir, jumlah kerugian dikatakan jauh lebih besar. Pelbagai aset dan pelaburan Bank Negara telah dijual untuk "mengurangkan" kerugian itu sebanyak mungkin. Dengan pendedahan terkini ini maka tahulah kita bahawa salah satu pelaburan yang telah dicairkan oleh Bank Negara untuk mengurangkan kerugian ialah 32 peratus saham MAS yang ia miliki pada harga RM8.00, iaitu, RM3.50 lebih tinggi daripada harga pasaran sekitar RM4.50 sesaham pada ketika itu. Tajuddin membelinya pada harga RM8.00 sesaham dan kerajaan membeli balik juga pada harga RM8.00 sesaham, jelas untuk menyelamatkan Tajuddin.

Menurut Tajuddin, beliau membeli saham terbabit pada harga yang cukup tinggi atas desakan kerajaan dan tujuannya "to enable Bank Negara to recoup some ot its foreign exchange losses." (NST 7 Julai 2006). Tetapi akibat krisis ekonomi 1997, MAS dan syarikat-syarikat lain milik Tajuddin mengalami kerugian. Tajuddin menghadapi masalah untuk melunaskan hutang. Akhirnya, Tajuddin terpaksa menjual balik 32 peratus saham MAS yang dipegang kepada kerajaan pada harga RM1.8 bilion, iaitu, RM8.00 sesaham walaupun harga pasaran hanya RM2.75 sesaham. Jelas, ini adalah satu usaha untuk membantu Tajuddin meringankan beban liabiliti kewangan yang beliau tanggung yang terbit dari pembelian saham MAS itu.

Di bawah nota kaki berkaitan (Note No. 10: Deferred Expenditure) dinyatakan: "This represents the net deficiency arising from foreign exchange transactions. The Government has undertaken to make good this deficiency as and when required to do so by the Bank." Bank Negara dibenarkan mengurangkan kerugian itu secara beransur-ansur selama sepuluh tahun mulai tahun 1994 dengan menolak keuntungan tahunan sebanyak RM500 juta tiap tahun. Kerugian itu telah menjadi kosong (fully armortized) pada 31 Disember 2003.

Perbuatan Tan Seri Jaffar Hussein dan Nor Mohamed berspekulasi dalam pasaran pertukaran wang antarabangsa yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada Bank Negara dan memalukan Negara. Pada analisis mutakhirnya, perbuatan ini telah menyebabkan wang rakyat "going down the drain" dan rakyatlah yang terpaksa menanggung kerugian. Ini adalah satu jenayah besar.

Perbuatan berspekulasi itu menyalahi Akta Bank Negara dan prosidur dalaman Bank Negara berhubung dengan pengurusan rizab negara. Menoleh ke belakang, denda yang dikenakan kepada arwah Jaffar Hussein dan Nor Mohamed Yackop tidak setimpal dengan berat kesalahan, terlalu ringan.

Satu kesilapan besar Bank Negara ialah ia telah melaksanakan dasar "internationalisation of the ringgit" sebagai sebahagian daripada dasar liberalisasi kewangan. Nor Mohamed dikatakan adalah juga arkiteknya. Dasar ini memberi peluang besar kepada para spekulator matawang membeli atau lebih tepat "mengepung" (to corner) ringgit.

Bila kadar faedah luar persisiran pantai meningkat sejak April 1998 kepada 20 - 40 peratus setahun berbanding dengan sekitar 11 peratus setahun di dalam negara, ringgit Malaysia mengalir keluar secara besar-besaran. Kerana ringgit adalah "matawang yang kecil," spekulator dengan mudah dapat "mengepung" ringgit. Bank Negara mengakui bahawa "the rapid increase in the internationalisation of the ringgit since April 1989 also contributed to the ringgit's weakness during this period." (Laporan Bank Negara 1998, muka surat 60).

Pada 10 Julai 1998 nilai ringgit merudum kepada USD1.00 = RM4.3260. Dasar ini adalah satu dasar yang salah, yang tidak sepatutnya dilaksanakan oleh Bank Negara. Akhirnya, ia telah dimansuhkan mulai 1 September 1998.

Kerugian sebenar dari perbuatan spekulasi bukan sahaja dalam bentuk angka seperti yang tertera di dalam imbangan kira-kira Bank Negara. Kerugian besar yang sebenar kepada ekonomi datang 3 tahun kemudian dalam tahun 1997 apabila "penyangak matawang" menyerang pasaran pertukaran wang asing ASEAN mengakibatkan berlakunya krisis kewangan yang tidak diduga.

Kerugian Bank Negara pada tahun 1992-93 melemahkan daya tahan kewangan negara dan apabila matawang Malaysia diserang, kita tidak mampu mempertahankan nilainya di pasaran antarabangsa. Musuh ekonomi kita sudah mengetahui kelemahan ini dan mereka melakukan serangan bertubi-tubi hinggalah nilai matang kita "collapse" mencecah nilai pertukaran terendah RM4.8800 bagi seunit dolar Amerika (7 Januari 1998). Rizab antarabangsa mengecil dengan cepat bila digunakan untuk mempertahankan nilai ringgit.

Kerana di sana wujud tanggapan bahawa ringgit akan terus lemah dan diserang, pelabur-pelabur "hot money" di pasaran saham Kuala Lumpur terus mencairkan pelaburan dan membawa wang lari keluar negara dan dalam proses ini menyebabkan pasaran saham jatuh merudum dan sebagai kesan timbal baliknya, niali ringgit terus menurun. Negara hampir terjerumus ke dalam kancah kebangkrupan. Kerajaan Malaysia menjadi panik.

Hanya selepas lebih satu tahun krisis berlalu baru ditemui jalan penyelesaian, iatu, menguatkuasakan regim kadar pertukaran asing dikekang (peg exchange rate policy) di mana berkuatkuasa mulai 1 September 1998, kadar pertukaran antarabangsa ringgit ditetapkan pada USD1.00 = RM3.80. Dasar ini kekal sampai bulan Mac 2005.

Pendekatan yang tidak tepat yang dilaksanakan oleh Bank Negara dalam mengurus dasar kewangan, iaitu, pertama, meninternalisasikan ringgit dan kedua, bermain spekulasi di pasaran matawang antarabangsa. Padahnya, ia membawa kerosakan ekonomi dan kerosakan ini dirasakan bebannya secara penuh dalam tahun 1998 bilamana ekonomi menguncup sebanyak 7.5 peratus, pendapatan per kapita jatuh dari USD4,377 (1997) kepada USD3,093 (1998) dan bekalan wang negara (M1) menguncup sebanyak 15 peratus.

Ini diburukkan lagi oleh kenaikan inflasi pada kadar 5.3 peratus dan kemerosotan kadar upah sebanyak 2.4 peratus. Ini bermakna negara mengalami stagflasi dalam tahun 1998 menyebabkan rakyat hidup dalam kesusahan. Perbuatan berspekulasi dan kerugian yang dialami adalah "ibu" kepada kerosakan ekonomi ini.

Kadar pertukaran yang ditetapkan oleh Bank Negara pada 1 September 1998 juga teralu rendah, iaitu, USD1.00 = RM3.80 berbanding dengan kadar pertukaran pra-krisis, sekitar RM2.65-2.75 per unit dolar Amerika. Nilai pertukaran RM3.80 = USD1.00 mengandungi nilai spekulasi ke atas ringgit. Dalam menetapkan nilai pertukaran ini, Bank Negara sekali lagi membuat kesilapan kerana gagal menyahkan bahagian nilai spekulasi. Sepatutnya, dalam menetapkan nilai pertukaran tetap ini, Bank Negara wajar membuat pertimbangan supaya kadar pertukaran yang ditetapkan adalah konsisten dengan nilai fundamental ringgit pada ketika itu.

Nilai fundamental ini sebenarnya tidak jauh dari nilai pertukaran ringgit sebelum krisis dan paling buruk pun pada sekitar USD1.00 = RM3.00. Ini memandangkan bahawa ekonomi Malaysia mempunyai fundamental yang kuat kerana pertama, ekonomi cukup pelbagai dengan sektor penindustrian, perkhidmatan, pertanian komoditi dan sumber galian khasnya petroleum. Kedua, hutang luar negara khasnya yang berjangka pendek adalah kecil.

Ketiga, kadar tabungan nasional adalah tinggi dan negara memiliki institusi tabungan yang teguh seperti KWSP, SOCSO, PNB, Kumpulan Wang Pencen dan Tabung Haji. Keempat, ternyata pada masa itu ekonomi adalah "on the path of fast recovery" (1989: unjuran 1.0 peratus tetapi pertumbuhan sebenar 5.4 peratus).

Kesilapan menentukan kadar pertukaran ini membawa "durian runtuh" kepada spekulator yang telah memindahkan aset mereka ke dalam " USD assets" dan negara kerugian kerana peningkatan besar beban hutang dan pembayaran hutang luar negara. Rakyat rugi kerana terpaksa menanggung beban inflasi dari nilai ringgit yang lemah.

Berikutan maklumat baru yang didedahkan ini, maka wajar penyiasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat semula kerugian spekulasi yang dialami oleh Bank Negara Malaysia 12 tahun yang lalu. Di antara persoalan-persoalan yang perlu dicari jawapannya ialah:

Sembilan Soalan

* Kenapa Bank Negara berspekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing?

* Apakah pemimpin tertinggi negara merestui Bank Negara berspekulasi?

* Apakah Bank Negara memiliki prosidur yang lengkap dan sistem kawalan yang berkesan dalam pengurusan operasi wang asing?

* Kenapa Nor Mohamed, ketika itu berpangkat penasihat di Bank Negara, diberi kuasa penuh oleh Bank Negara dalam urusniaga wang asing?

* Apakah peranan jawatankuasa pengurusan rizab luar negara yang ada di Bank Negara pada masa itu?

* Berapakah kerugian spekulasi yang sebenarnya?

* Kenapakah Gabenor Bank Negara pada awalnya mengumumkan kerugian hanya di atas kertas walhal kerugian adalah nyata?

* Apakah di sana ada unsur jenayah dalam menguruskan rizab antarabangsa?

* Apakah langkah yang telah dilaksanakan oleh Bank Negara bagi mengelakkan berulangnya perkara yang sama?

Maklumat yang didedahkan membayangkan wujudnya konspirasi peringkat tinggi dalam di dalam perjudian di pasaran matawang dan untuk menyorok kerugian. Dalang utamanya ialah Nor Mohamed Yackop. Apakah orang yang mempunyai rekod yang cemar dan culprit kepada kerosakan kepada Bank Negara dan ekonomi negara wajar diamanahkan menjaga kewangan negara?

Kerugian Bank Negara perlu disiasat semula!

ADS