Pada malam kedua saya berada di Ijok sehari selepas hari penamaan calon kami lalu di hadapan rumah jutawan tempatan yang dijadikan bilik gerakan Pemuda BN. Kain rentang gergasi berkibar dengan kata-kata 'Sedia Gempur'. Pada hari-hari terakhir kempen pilihanraya, sebuah papan tanda pula muncul di tepi jalan antara Pekan Ijok dengan Batang Berjuntai: 'Pemuda BN Gempur, PKR Terkubur'.
Politik sememangnya melibatkan emosi dan perasaan, tetapi antara ciri-ciri kepimpinan ialah keupayaan mengawal emosi dan perasaan tersebut. Sememangnya pilihanraya merupakan gelanggang pertarungan bagi ahli politik, namun pertarungan tersebut juga bukan sahaja tertakluk kepada undang-undang negara, malah lebih penting lagi adab dan rukun berbeza pendapat.
Apatah lagi apabila melihat slogan-slogan sedemikian digunakan oleh anak-anak muda Melayu, yang sepatutnya kaya dengan sifat santun dan tatasusila budaya kita. Kalau Salahuddin al-Ayubi boleh menghantar doktor terbaiknya merawat ketua tentera salib, Richard the Lion Heart sewaktu perang salib untuk memerdekakan Baitul Muqaddis, takkanlah Pemuda BN tidak mempunyai akhlak dan sopan-santun menghadapi pilihanraya di negara sendiri.
