Bahagian 2
Tanpa banyak soal, saya memberanikan diri untuk menghampiri sasterawan itu. Gementar juga saya pada mulanya. Masih was-was. Saya masih ingat apa reaksi yang saya terima daripada seorang penulis karya Tamil tidak lama dahulu.
Cerpenis Tamil itu datang sewaktu diadakan ceramah umum bagi kaum India menjelang pilihan raya yang lalu. Dia datang bukan sebagai penceramah tetapi sekadar mengiringi seorang tokoh politik dari Kuala Lumpur.
Kedatangannya itu mahu saya gunakan untuk menimba ilmu tentang penulisan. Lalu saya mendekatinya. Saya memperkenalkan diri dan mula bercakap tentang beberapa karyanya yang pernah saya baca. Dia sekadar mengangguk-angguk. Malah dia tidak memberikan reaksi terhadap komen saya tentang karya-karyanya.
"Macam mana nak usahakan karya kita tersiar di akhbar?" tanya saya kepadanya.
"Sukar," katanya. "Awak jadi pembaca sudahlah. Biar orang-orang sastera macam saya yang tulis cerpen."
"Tapi, encik Saya ada hasilkan cerpen Bahasa Tamil dan BAHASA MALAYSIA "
"Awak ingat senang nak terbitkan karya? Dalam Bahasa Melayu pula! Awak ingat mereka nak siarkan cerpen orang India dalam surat khabar Melayu?"
