Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hampir-hampir meninggalkan gelanggang dua tahun lepas, petinju profesional Malaysia, Muhammad Farkhan Mohd Haron kini mengimpikan gelaran juara dunia hasil latihan selama dua tahun di Wild Card Boxing Club tajaan seorang bangsawan pemurah.

Farkhan berpeluang berlatih di gimnasium terkenal dunia milik Freddie Roach yang terletak di Los Angeles, AS.

Semuanya hasil tajaan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bakatnya menarik perhatian Tunku Ismail ketika Farkhan beraksi - dan mengalahkan - bekas juara Asia, Hendrik Aritonang dari Indonesia Mac lalu.

Kini Farkhan berpeluang berlatih bersama juara dunia seperti petinju Filipina, Manny Pacquiao dan Miguel Cotto daru Puerto Rico.

"Saya berbesar hati dengan kepercayaan Tunku Ismail. Beliau melihat potensi saya dan membantu supaya sukan ini berkembang," kata Farkhan kepada MalayMail , hari ini.

Menurut Farkhan, dengan sokongan Tunku Ismail, dia boleh terus melangkah ke hadapan untuk mengejar gelaran juara Asia dan mungkin gelaran dunia.

"Keazaman menjadi kunci kejayaan dan saya yakin dapat merangkul kejuaraan dunia dalam masa empat tahun. Tetapi sekarang, saya mahu beri tumpuan di peringkat Asia dahulu," katanya.

Petinju berusia 27 tahun itu pernah meraih pingat emas di Sukan SEA Laos pada 2009. Namun dia yang dilahirkan di Johor itu mengalami waktu sukar selepas itu.

Masuk hospital kerana serangan jantung

Bapanya merupakan bekas petinju dan Naib Presiden Persekutuan Peninju Amatur Malaysia sebelum meninggal dunia pada 2012 akibat kompilasi jantung.

Pada tahun sama Farkhan turut pernah dimasukkan di hospital akibat serangan jantung juga.

Walaupun kembali pulih, namun kesukaran yang dihadapi mendorong beliau memikirkan semula masa depannya dalam sukan berkenaan.

"Saya tinggalkan skuad elit untuk menjadi petinju profesional. Persatuan tidak menyokong saya ketika itu dan saya hampir berhenti.

"Akhirnya saya memilih jalan sendiri dan saya berazam untuk membanggakan negara," katanya.

Farkhan akan bersaing di Kejohanan Asia di Jakarta bulan depan dan ia menjadi peluang pertama untuknya membuktikan kemampuannya.

Petinju itu berkata, Pacquiao yang memenangi gelaran dunia dalam lapan kategori berat berbeza menjadi inspirasinya.

"Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya akan berusaha. Kini dengan sokongan Tengku Mahkota, cabaran saya menjadi lebih ringan. Saya berjanji akan membawa pulangan lebih banyak kejuaran," katanya.

- Reuters

Lihat Komen
ADS