Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Gandingan atlet terjun negara, Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee tidak dapat meneruskan rentak cemerlang pada saingan kelayakan Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Rusia, pada Isnin.

Pandelela Rinong dan Mun Yee yang kembali digandingkan semula sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 10m platform seirama wanita yang berlangsung di Aquatic Palace.

Menurut laman web rasmi kejohanan, kazan2015.com, mereka bermula baik dalam dua terjunan awal dengan kedudukan kelima keseluruhan dan melonjak di tempat ketiga selepas terjunan ketiga.

Namun nasib tidak menyebelahi mereka pada terjunan keempat selepas hanya mendapat 51.84 mata menyebabkan mereka jatuh ke tempat ketujuh daripada 12 peserta akhir.

Bagaimanapun, Pandelela Rinong-Mun Yee kembali melakukan persembahan yang baik pada terjunan terakhir dengan mendapat 77.76 mata, jumlah markah ketiga terbaik dalam saingan terjunan kelima itu.

Pasangan penerjun itu mengumpul 303.60 mata, 55.92 mata di belakang pemenang pingat emas, Chen Roulin-Liu Huixia dari China yang memperoleh 359.52 mata.

Sementara Meaghan Benfeito-Roseline Filion (Kanada) dan Kim Un Hyang-Song Nam Hyang (Korea Utara) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dengan 339.99 dan 325.26 mata.

- Bernama

Lihat Komen
ADS