Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Harapan naib juara Liga Super 2015, Pahang, untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala AFC kian samar apabila tewas 0-4 kepada kelab Tajikistan, FC Istiklol pada aksi suku akhir pertama di Stadium Republican Central, Dushanbe, malam tadi.

Dua gol berselang dua minit separuh masa pertama, selain dua lagi pada babak kedua, nyata memberi kelebihan kepada pendahulu Liga Tajikistan itu untuk mara ke separuh akhir pada penampilan sulung mereka di kejohanan Piala AFC.

Tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong, melancarkan serangan bertali arus ke kubu Pahang untuk mencari gol awal.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-35 apabila Mahdi Chaahjooei melepaskan rembatan dari di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Nasril Nourdin.

Selang dua minit kemudian, Dilshod Vosiev meletakkan tuan rumah mendahului 2-0 menerusi rembatan yang menyaksikan Mohd Nasril tewas sekali lagi.

Keputusan itu kekal sehingga wisel rehat ditiupkan.

Bersambung separuh masa kedua, tuan rumah meneruskan asakan ke kubu Pahang dan hasilnya, Khurshed Makhmudov meledak gol ketiga pada minit ke-51 menerusi percubaan menarik dari luar kotak penalti.

Vosiev menambah derita Pahang pada minit ke-77 menerusi percubaan dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru kiri pintu gol Pahang.

Wakil Malaysia yang terdesak mencari gol pembukaan, sekali sekala turut melakukan serangan balas menerusi gandingan penyerang Azamuddin Mohd Akil dan Matias Conti, namun kekebalan benteng pertahanan tuan rumah menyaksikan mereka gagal memecah kebuntuan jaringan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun keputusan 4-0 itu kekal sehingga berakhirnya perlawanan.

FC Istiklol akan berkunjung ke Kuantan, Pahang untuk aksi timbal balik pada 16 Sept ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS