Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Dollah letak jawatan?
Diterbitkan:  Sep 4, 2015 11:30 AM
Dikemaskini: 5:16 AM

Kalah 0-10 kepada Emeriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi memberi tamparan hebat buat Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh.

Tersentak dengan keputusan perlawanan itu, Dollah menyatakan kemungkinan beliau akan meletak jawatan dalam masa tiga hari lagi.

"Saya tak tahu apa terjadi malam ini (malam tadi) terutama di bahagian pertahanan. Kami beri gol-gol mudah. Tiga atau empat gol boleh dianggap gol mudah dan semuanya membawa kepada kemusnahan kepada pasukan kami.

"UAE juga mempamerkan persembahan cukup baik terutama Omar Abdulrahman (pemain nombor 10), seorang pemain cukup hebat dan dia ternyata 'membunuh' setiap pemain kami.

"Saya tak jangka boleh kena sampai 10 gol. Memang saya tahu bukan mudah nak menang di sini dan sebab itulah saya letak sasaran mahu seri.

"Tapi dengan cara UAE bermain dan pemain kami pula saya tak tahu apa jadi kepada mereka, segalanya musnah," kata Dollah pada sidang media selepas perlawanan seperti dilaporkan web rasmi FAM.

Tambah beliau, persiapan yang singkat dilalui pasukan negara dan jadual padat selepas mengharungi liga tempatan antara faktor kekalahan tersebut.

"Seperti yang saya katakan, persiapan kami hanya tiga ke empat hari. Bukan mudah nak main. Macam saya katakan UAE pasukan terbaik di Asia. Pemain kami pula keletihan mengharungi jadual padat liga dan sebab itu mereka tak dapat menyaingi tempo permainan UAE," Katanya.

Ditanya adakah beliau terfikir untuk akan meletak jawatan, Dollah berkata: "Saya tak tahu tetapi mungkin juga. Apa pun tunggu dan lihat dalam tempoh dua atau tiga hari ini."

Sebelum tewas kepada UAE malam tadi, skuad bola sepak negara juga sekadar seri 1-1 menentang Timor Leste dan kalah 0-6 kepada Palestin sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 itu.

Lihat Komen
ADS