Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TMJ: Cukuplah bodoh sombong, pecat Dollah
Diterbitkan:  Sep 4, 2015 3:59 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Susulan kekalahan memalukan 0-10 skuad kebangsaan kepada Emeriah Arab Bersatu (UAE), Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi tampil menghentam FAM.

Tengku Mahkota Johor (TMJ) secara sinis berkata, PBNJ bersedia membantu FAM mencari bajet bagi mendapatkan khidmat jurulatih luar.

"Tolong sampaikan kepada presiden FAM bahawa PBNJ akan membantu mendapatkan bajet untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar yang lebih berkelayakan membimbing pasukan kebangsaan.

"Cukup-cukuplah kita berperangai bodoh sombong. Pecat Dollah (Salleh) secepat mungkin dan cuba memperbaiki apa yang kita mampu sebelum imej bola sepak tanah air semakin hancur," katanya.

Menulis di Facebook Johor Southern Tiger, beliau bagaimanapun berkata bantuan PBNJ itu bersyarat.

Kata TMJ, syaratnya dengan memberikan semua pasukan yang bertanding dalam negara hak penyiaran yang sepatutnya mereka terima iaitu sebanyak 70 hingga 80 peratus.

"Setakat untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar dan menguruskan liga tempatan, FAM tidak perlu lebih daripada 20 peratus hingga 25 peratus bahagian daripada hak penyiaran.

"Pembangunan akar umbi boleh dipertanggungjawabkan kepada persatuan-persatuan bolasepak negeri dan kelab-kelab," katanya.

Tambah Tunku Ismail, FAM juga harus menggesa setiap persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk menjadikan program pembangunan akar umbi dan penambahbaikan kemudahan latihan sebagai aspek yang wajib dijalankan.

"Khidmat jurulatih luar yang baik juga amat penting. Sebagai contoh, mengapa terdapat perbezaan apabila pemain JDT bermain untuk negara berbanding kelab?

“(Pemain kelahiran Argentina) Pablo Aimar pernah mengajar saya, tiada maknanya memiliki sebuah kereta Ferrari sekiranya pemandunya hanya tahu memandu sebuah van.

"Jadi untuk memiliki sebuah pasukan yang baik, 50 peratus adalah kejurulatihan dan 50 peratus adalah pemain.

"Dari segi mentaliti pemain, satu-satunya perkara yang boleh memupuk sikap profesionalisme adalah Akademi. Di sini dilihat kepentingan pendidikan, para pemain yang sedia ada kini tidak boleh diselamatkan," jelas beliau.

"Bukan salah mereka (pemain), tetapi salah FAM dan semua pasukan termasuk Johor, yang telah gagal dengan program pembangunan akar umbi kita sejak dahulu lagi. Kita perlukan kepakaran luar, dan kita para pendukung bola sepak tanah air perlu mengubah sikap diri sendiri terlebih dahulu sebelum boleh mengubah sikap pemain bola sepak negara.

"Oleh itu, mana-mana ahli jawatankuasa dalam FAM yang telah lama tetapi tidak berfungsi, lebih baik bercuti panjang sahajalah. Jikalau kepala tak betul, ekor pun tak betul.

"Oh satu lagi, saya akan teruskan misi saya untuk membunuh bola sepak tanah air," sinis beliau.

Lihat Komen
ADS