Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Emil si penjaga gawang Juventus asal Lombok
Diterbitkan:  Sep 4, 2015 5:46 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Walaupun sudah beraksi mewakili kelab bola sepak elit Itali, Emil Audero Mulyadi masih terkenang tempat 'tumpah darahnya' - Lombok.

Kini berpangkalan di Turin Itali, bapa Emil, Edi Mulyadi masih menetap di Praya, Lombok Tengah.

Disebabkan jarak begitu jauh, hanya panggilan telefon jadi penghubung dan pengubat rindu pasangan anak-beranak itu.

"Ayah, jauh di mata dekat di hati," itulah kata-kata diucapkan Emil mengenai Edi.

Dilahirkan di Hospital Akasia Mataram pada 18 Januari 1997, Emil merupakan anak kedua hasil perkahwinan Edi dengan wanita Italy, Antonela Audero Mulyadi pada 1992.

Edi waktu itu bekerja di sebuah hotel di kawasan pelancongan Selong Belanak. Anak pertama mereka - kakak Emil - bernama Elena Audero Mulyadi.

"Minggu lalu, Elena pulang ke Indonesia dan meluangkan masa di Lombok selama tiga minggu," kata Edi.

Main di halaman rumah

Sementara itu, Emil kini melakukan persediaan bagi mewakili pasukan kebangsaan bawah 19 tahun Itali untuk menghadapi perlawanan dengan Ireland sebelum menentang Belanda pada 7 September ini.

"Emil tinggal bersama ibunya di Cumiana Torina, dua jam penerbangan dari Roma. Sewaktu lahir, namanya Emilio Audero Mulyadi, tapi sudah diubah menjadi Emil Audero Mulyadi," jelas Edi menceritakan mengenai anaknya itu.

Sejak dilahirkan, selama beberapa tahun Edi dan Antonela berulang-alik antara Lombok dan Itali.

"Semuanya kerana masalah kewarganegaraan. Kami bolak-balik (ulang-alik), keluar masuk," katanya yang kini bekerja sebagai pemandu pelancong di Praya.

Edi sempat menetap di Itali dan bekerja di kilang kereta Fiat sebelum kembali ke Lombok dan meninggalkan Antonela serta dua anaknya secara baik.

Menceritakan mengenai bakat bola sepak dimiliki anaknya, Edi berkata, Emil menyukai bola sepak sejak berusia lima tahun.

"Dia menyertai Kelab Cumiana Football Club di tempat tinggalnya.

"Semasa kecil dia selalu bermain bola di halaman rumah dan di dalam rumah, suka menentang bola atau benda lain.

"Awalnya dia bermain posisi sayap kiri, tetapi sewaktu ketiadaan penjaga gol Emil secara sukarela menjadi pengganti.

"Jurulatihnya akan bertanya siapa mahu jadi penjaga gol, Emil yang usianya 10 tahun ketika itu akan angkat tangan," tambah Edi.

Emil yang menyertai Akademi Juventus kini diserap ke skuad utama dan sebaris dengan penjaga gol terkenal Itali, Gianluigi Buffon.

Lihat Komen
ADS