Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Bola sepak Malaysia tak ada standard, terus terang saya cakap. Itulah masalah kita. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk memperbaiki mutu bola sepak negara," kata bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, B Sathianathan susulan kekalahan teruk 0 - 10 anak buah Dollah Salleh kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pemain Malaysia tidak layak bersaing di pentas antarabangsa.

"Berdasarkan perlawanan itu, kita dapat lihat perbezaan ketara antara pemain kita dan UAE. Kita terlalu lemah pelbagai posisi.

"Pertahanan kita longgar, penyerang kita tak menyerang dengan baik, pemain tengah kurang berfungsi. Semuanya tak agresif, itulah yang membezakan kita dengan pasukan negara lain," katanya kepada Malaysiakini .

Mengulas usaha jangka pendek, Sathianathan berkata, pihak yang berkenaan perlu realistik dengan kemampuan barisan pemain.

Selain itu katanya, Dollah juga perlu berterus terang mengenai masalah dan kelemahan yang dihadapi sepanjang menjadi jurulatih.

Bagi bekas pemain kebangsaan negara, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata badan induk bola sepak negara perlu menekan butang kecemasan dengan kadar segera.

"FAM sendiri tahu apa yang perlu dilakukan, sebab mereka yang dilantik semuanya hebat-hebat. Mereka tahu apa masalah yang dihadapi.

"Saya berasa sangat sedih dengan keputusan semalam. Masalahnya sekarang kita adalah tiada pilihan, itu saja pemain yang ada di Malaysia. Pemain di Harimau Muda pun sama keadaannya dengan skuad kebangsaan," kata bekas jurulatih Kelantan itu.

Tambah beliau, sikap pemain itu sendiri antara punca bola sepak negara tidak berdaya maju.

"Pada zaman saya dulu, kalau tak terpilih untuk skuad kebangsaan, balik menangis. Pemain sekarang tak macam itu, tak dapat masuk skuad negara lagi seronok," tegas beliau.

Lihat Komen
ADS