Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas peletakan jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, mungkin ada satu lagi langkah boleh dilakukan demi menyelamatkan sukan bola sepak negara - menggantung FAM.

Kedengaran drastik, tapi menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ia boleh dilakukan mengikut undang-undang.

Tambahan pula memikirkan betapa buruknya prestasi dipamerkan skuad Harimau Malaya ketika ini.

"Mengikut Akta Pembangunan Sukan, kuasa diberi kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk menggantung mana-mana persatuan sukan yang dirasakan perlu," katanya melalui Facebook beliau hari ini.

Cuma simptom penyakit

Bagaimanapun kata beliau, penggantungan itu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada jalan lain.

Kata Ketua Pemuda Umno itu, peletakan jawatan Dollah Salleh malam tadi adalah langkah yang tepat.

Katanya, Dollah tiada pilihan lain selepas pasukan negara dibelasah dengan begitu teruk sekali oleh Emiriah Arab Bersatu.

"Namun, peletakan jawatan Dollah tidak mencukupi. Beliau hanya simptom kepada penyakit sebenar yang merosakkan bola sepak negara," katanya.

Pada masa sama, menurut Khairy, langkah menggantung sesebuah persatuan perlu dibuat dengan pertimbangan wajar kerana ia boleh mengundang implikasi di peringkat antarabangsa.

Mengambil contoh kes di Indonesia, Khairy berkata, apabila Persatuan Sepakbola Seluruh Indonsia (PSSI) digantung oleh kerajaan, Fifa tidak membenarkan pasukan kebangsaan negara itu mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.

"Apakah kita sedia menerima nasib yang sama sekiranya FAM digantung?‎ Ini antara perkara yang perlu saya fikirkan apabila berjumpa dengan FAM nanti," jelas beliau.

Khairy juga menyatakan beliau akan memanggil FAM bagi mengemukakan laporan berkenaan prestasi skuad kebangsaan mutakhir ini.‎

"Sudah pasti kekalahan 0-10 terhadap UAE merupakan keputusan yang paling memalukan negara," katanya.

Lihat Komen
ADS