Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Maraton Standard Chartered pula kandas
Diterbitkan:  Oct 3, 2015 8:37 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Satu lagi acara sukan dibatalkan gara-gara 'serangan' jerebu.

Kali ini larian Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur (SCKL) yang sepatutnya dilangsungkan esok.

Dalam pengumuman di Facebook SCKL berkata, pembatalan itu dibuat susulan keadaan jerebu yang dibimbangi memudaratkan kesihatan peserta.

"Oleh kerana kualiti udara semakin buruk dan atas nasihat pasukan perubatan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Institut Sukan Negara (ISN) dengan dukacitanya kami mengumumkan Maraton Kuala Lumpur Standart Chartered dibatalkan.

"Keputusan ini turut disokong oleh penganjur bersama iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan penaja utama Standard Chartered Bank Malaysia," kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun penganjur, menghargai sokongan yang ditunjukkan semua peserta di dalam keadaan cuaca yang mencabar ini.

"Kesihatan dan keselamatan semua peserta kekal menjadi keutamaan kami. Sejak pengumuman terakhir kami, keadaan jerebu telah mencapai tahap yang tidak sihat.

"Peserta yang telah mendaftar dinasihatkan ke Dataran Merdeka untuk mendapatkan kelayakan penyertaan dari 6 pagi hingga tengah hari esok.

"Bagi mereka yang tidak dapat berbuat demikian, langkah alternatif akan diumumkan melalui saluran media sosial SCKL," kata kenyataan itu lagi.

Namun di sebalik pembatalan itu, laluan yang ditutup antara jam 6 pagi hingga 9 pagi esok kekal.

Jalan yang terlibat ialah Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan P Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Kuching, Jalan Parlimen, Jalan Cenderawasih, Jalan Lembah dan Jalan Sultan Hishamuddin.

Para peserta boleh melayari www.kl-marathon.com dan www.facebook.com/SCKLMarathon untuk mendapatkan maklumat terkini.

Lihat Komen
ADS