Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Total Gym juara keseluruhan Piala Cabaran DRB-Hicom AGG

Kelab Total Gym Malaysia muncul juara keseluruhan edisi pertama kejohanan gimnastik Piala Cabaran DRB-Hicom AGG 2015 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras Ahad.

Gimnas artistik wanita dan lelaki kelab berkenaan, cemerlang apabila mendominasi tiga kategori - bawah 10 tahun, bawah 14 tahun dan kategori terbuka pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, bermula Sabtu.

Jurulatih Total Gym Malaysia, Sam Thong berkata beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian serta komitmen semua gimnas kelab itu yang mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan berkenaan.

"Kami membuat persediaan selama enam bulan bagi menghadapi kejohanan ini dan saya berpuas hati dengan pencapaian mereka. Kejohanan seperti ini merupakan platform terbaik bagi mereka bersaing dengan gimnas luar negara.

"Selepas ini, mereka akan bertanding di Kejohanan Gimnastik Kebangsaan yang dijadual penghujung bulan ini," katanya kepada pemberita di Stadium Badminton Kuala Lumpur.

Gimnas kelab Total Gym Malaysia turut cemerlang apabila kebanyakan mereka mendominasi kedudukan tiga terbaik acara individu dalam kategori melombol, batang titian, palang tunggal dan senam lantai.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata beliau yakin kejohanan itu dapat memberi pendedahan terbaik kepada gimnas tempatan untuk menimba pengalaman bertanding dalam kejohanan yang kompetitif di dalam negara.

"Saya berharap kejohanan ini mampu memberi keyakinan kepada gimnas tempatan untuk menjadi gimnas bertaraf profesional dan mengharumkan nama negara pada kejohanan lebih kompetitif pada masa akan datang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS