Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemenangan yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma apabila Harimau Malaya menumpaskan Laos 3 - 1 di Bangkok, petang tadi.

Walaupun sekadar perlawanan persahabatan, namun kemenangan itu diharap dapat membakar semangat pemain sekali gus mengurangkan aib yang ditanggung ketika ini.

Kemenangan itu dilihat menjadi modal penting sebelum anak buah Datuk Ong Kim Swee berdepan Timor Leste pada 13 Oktober nanti.

Lebih-lebih lagi prestasi Timor Leste dilihat semakin meningkat apabila mampu seri 1 - 1 kepada Palestin pada aksi kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 yang turut berlangsung, petang tadi.

"Sudah tentu kita sedia tahu Timor Leste bukan pasukan yang mudah untuk dikalahkan terutama apabila kita bermain di tempat mereka. Ini terbukti apabila pasukan Palestin pun gagal mendapatkan mata penuh.

"Bukan satu tugas yang mudah, kita tak boleh fikir yang Timor Leste seperti empat atau lima tahun lepas. Mereka mempunyai pemain yang cukup baik terutama pemain naturalisasi," kata Kim Swee mengulas mengenai persediaan Harimau Malaya.

Menurut pengendali sementara Harimau Malaya itu apabila bermain di Timor Leste nanti, pemain kebangsaan perlu meningkatkan disiplin dan lebih penting, gawang negara tidak boleh dibolosi lagi.

"Kalau kita mampu bertahan dengan baik, saya percaya peluang masih ada untuk kita dapatkan kemenangan," katanya.

Paling penting kombinasi keseluruhan

Sementara itu, mengulas kemenangan ke atas Laos, Kim Swee berkata, beliau percaya pemain baru yang dipilih ke skuad kebangsaan itu mampu mengisi kekosongan pemain lain.

Bagaimanapun beliau bersikap realistik apabila menyedari penilaian tidak boleh kira daripada satu perlawanan saja.

"Apa yang penting pemain-pemain harus diberikan ruang dan saya percaya apabila kita ke Timor Leste nanti jika mereka diturunkan sudah tentu pemain-pemain ini akan bertambah yakin.

"Lebih mustahak bukan mengenai individu tertetu tetapi kombinasi seluruh pemain dalam kesebelasan utama dan juga pemain yang masuk menggantikan sesiapa saja," katanya.

Pada perlawanan di Staidum Tentera Udara Diraja Thailand di Bangkok petang tadi, Malaysia mencipta dua gol melalui C Jayaseelan, masing-masing pada minit ke-50 dan 92 selain jaringan Azammuddin Akil pada minit ke-53.

Semangat buktikan

Selepas bertemu Timor Leste, Harimau Malaya akan berdepan Palestin (12 November) di gelanggang mereka sebelum beraksi di Stadium Shah Alam untuk melayani Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November.

Pada pusingan pertama sebelum ini, Malaysia sekadar seri 1 - 1 dengan Timor Leste, tewas 0 - 6 kepada Palestin, kemudian dibelasah UAE 0 - 10 dan diakhiri dengan kekalahan 0 - 3 kepada Arab Saudi.

Lebih malang buat barisan pemain skuad negara pada aksi di gelanggang sendiri bertemu UAE apbila terpaksa beraksi dengan stadium kosong seperti yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) susulan insiden rusuhan penyokong sebelum ini.

Jika berjaya mengatasi Timor Leste, barangkali anak buah Kim Swee lebih bersemangat untuk membuktikan kemampuan mereka sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah gol bolos ketika ditentang UAE.

Lihat Komen
ADS