Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Kehilangan penyerang import berbisa, Patrick Ronaldinho Wleh yang dipinjamkan kepada Selangor musim ini tidak dijadikan alasan oleh skuad PKNS FC untuk memburu gelaran juara Liga Perdana 2016.

Malah, pasukan bimbingan E Elavarasan mendapat sentuhan baru dengan menyambar pemain kebangsaan Palestin, Matias Jadue, sebagai pengganti.

Pemain tengah kelahiran Chile itu turut membantu Palestin mengalahkan Malaysia 6-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2016, November lalu.

Selepas mengakhiri musim 2015 di kedudukan keempat, Presiden PKNS FC Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata selain Jadue skuad The Red Ants turut mempertaruhkan pemain import baru dari Argentina, Juan Manuel Cobellidari.

"PKNS FC tidak mempunyai pemain berstatus bintang, namun saya percaya kemampuan pemain yang kita ada.

"Apa yang saya lihat berdasarkan persiapan pasukan pada pramusim, pemain menunjukkan komitmen yang tinggi, berdisiplin dan bersemangat untuk menaikan imej PKNS sendiri," katanya kepada media pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain PKNS FC 2016 di Shah Alam, semalam.

Siti Zubaidah berkata, sasaran menjuarai trofi musim ini adalah realistik dan disandarkan kepada pengalaman ketua jurulatih mereka, Elavarasan.

"Kami sedar sasaran ini bukanlah perkara mudah berdasarkan kualiti pasukan pencabar seperti JDT II, Sabah, Negeri Sembilan dan Perlis.

"Tetapi kami tetap optimis untuk memberi saingan dengan kombinasi pemain import dan pemain tempatan berpengalaman seperti P Gunalan, M Sivakumar dan Shahrul Azhar Ture," katanya.

Sementara itu, Elavasaran berkata, beliau tidak menghadapi sebarang rasa tekanan dengan sasaran tersebut, malah ia disambut baik sebagai pendorong kepada pasukan bimbingannya.

"Semua kelab menyasarkan untuk muncul juara. Kita perlu akur dengan kehendak pihak pengurusan kelab dan saya tidak rasa sebarang tekanan dengan permintaan itu.

"Ini tahun kedua saya bersama PKNS FC dan pada saya sasaran itu boleh dicapai jika kita bermula dengan baik dan sentiasa positif dengan kemampuan semua pemain, selain sokongan pengurusan serta semua pihak," jelasnya.

Ditanya persediaan menjelang aksi pertama Liga Perdana bertemu pasukan Kuala Lumpur malam ini, beliau mengakui anak buahnya sudah bersiap-sedia.

"Persiapan semua baik, cuma kehadiran pemain import yang agak lewat sedikit mengganggu kerana tidak sempat menguji mereka bersama pemain-pemain lebih lama. Tapi kita tidak jadikan itu sebagai alasan.

"Perlawanan pertama musim selalunya akan sengit. Kemungkinan keputusan akan seri ataupun menang tipis.

"Sebagai tuan rumah di Stadium Hang Jebat, sudah tentu kita mahu tiga mata penuh walaupun pasukan Kuala Lumpur menunjukkan prestasi positif pada perlawanan persahabatan pramusim," katanya.

Lihat Komen
ADS