Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Nilai tajaan ditawarkan kepada skuad bola sepak Kedah ialah RM30 juta.

Hari ini pengasas D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menawarkan RM100 juta pula - jika Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mempunyai bukti beliau mahu 'merampas' tanah di Kedah.

"Kalau ada bukti mengatakan saya mahu rampai tanah hak Kedah, saya sanggup ‎berikan RM100 juta. Bukan RM30 juta, tapi RM100 juta.

"Saya ada duit, kalau betul-betul saya nak tanah boleh beli tanah di Selangor. Kenapa nak pergi ke cerok Kedah?" katanya pada sidang media di Wisma D'Herbs, Kota Damansara, hari ini.

Tegas beliau, dakwaan yang dibuat Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa aset rakyat di Kedah akan tergadai jika tajaan berkenaan diterima adalah tidak benar.

"Saya amat kecewa dengan menteri besar Kedah. Apa yang beliau maksudkan dengan hak rakyat negeri Kedah akan tergadai?

"Mereka yang kata saya ambil tanah secara percuma atas nama Alif Syukri Kamarzaman adalah menipu. Tanah itu bukan saya yang minta, tetapi mereka (KFA) yang menawarkan tanah itu," katanya.

Menurut Aliff Syukri, butiran yang tersebar di media sosial selepas KFA mengumumkan penolakan tajaan syarikatnya telah mengaibkan nama beliau.

Dakwaan buat rasa terhina

"Semua itu masih dalam perancangan dan cadangan dalam draf penajaan antara D'Herbs dan KFA. Sebelum ini sudah banyak perkara dibincangkan dengan baik.

"Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku. Cara KFA buat kepada saya sangat tidak wajar," katanya.

Tambah jutawan kosmetik itu, sebelum ini pihaknya menerima surat daripada KFA menyatakan mereka sedang meneliti syarat-syarat dikemukakan.

"Dalam surat itu juga mereka meminta saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penajaan.

"Tetapi tiba-tiba KFA buat kenyataan tanpa sebarang perbincangan. Saya rasa terhina, seolah-olah saya mencuri hak milik Kedah," katanya.

Aliff Syukri berkata, jika fitnah tersebut terus dijaja beliau akan mengemukakan saman malu kerana berasa beliau di pihak yang benar.

"Tak mustahil saman malu (akan dibuat), saya ada bukti. Bukan saya kejar mereka (KFA).

"(Saya) tak pernah saya tuntut ‎tanah secara percuma, kalau saya nampak ada lagi kenyataan begitu saya saman," jelasnya.

Lihat Komen
ADS