Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Impian atlet buta: Berlari dari Rio ke Tokyo
Diterbitkan:  May 25, 2016 8:00 AM
Dikemaskini: 12:10 AM

Secara umum, Terezinha Guilhermina memang kurang bernasib baik - jika dia dinilai berdasarkan kemampuan matanya.

Dia dilahirkan dengan masalah retinitis pigmentosa yang menyebabkan daya penglihatannya terbatas sedikit demi sedikit.

Kira-kira 20 tahun lalu matanya sudah buta secara total. Namun ketika itu dia bercadang untuk terbabit secara aktif dalam bidang olahraga.

Kecacatan penglihatan memang menjadi penghalang kepada Terezinha namun masalah terbesar baginya ialah kemampuan ekonomi.

Untuk menjadi pelari, kasut yang sesuai diperlukan. Seperti kebanyakan kanak-kanak di Brazil, kasut sukan kadang-kadang berada dalam kategori 'barang mewah'.

Istilah "kehilangan" memang bukan asing kepada Terezinha.

Ketika masih kanak-kanak dia ibunya meninggal dunia, kemudian bapanya menghilangkan diri. Akhirnya Terezinha kehilangan penglihatan.

Rekod di London

Dalam keadaan begitu Terezinha membabitkan diri dalam sukan renang. Ia bukan minat utama Terezinha tetapi disebabkan sudah memiliki sut renang dia berlatih dengan gigih.

Keadaan berlanjutan begitu sehinggalah seseorang dalam keluarganya berjaya membelikan kasut yang sesuai untuknya.

Kegigihan Terezinha memang berbaloi. Dia memecahkan rekod dunia bagi acara larian 100 meter kategori T11 (cacat penglihatan mutlak) dan memenangi pingat emas Sukan Paralimpik London 2012.

Namanya juga tersenarai dalam Buku Rekod Dunia Guinness sebagai wanita buta terpantas dalam dunia.

Dalam keadaan begitu belum ada sebarang tanda untuk Terezinha, 37, mahu bersara.

"Saya yakin mampu bersaing hingga ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo," katanya dilaporkan HuffPost Sport.

Tiada istilah kesal

Jika itu menjadi kenyataan Terezinha akan beraksi di temasya sukan olahraga bertaraf dunia itu pada usia 42 tahun.

Menceritakan pengalamannya Terezinha berkata dia gagal mendapat sebarang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di sekolah vokasional di tempat kelahirannya.

Dia kemudian mendaftar untuk menyertai kelas latihan renang untuk atlet kurang upaya walaupun minat sebenar Terezinha adalah menjadi pelari.

"Kebetulan saya memang ada sepasang baju renang," katanya.

Pada masa sama dia meminta kakaknya membelikan sepasang kasut untuk acara larian. Terezinha memang memperolehinya namun kasut itu sebenarnya bukan untuk kegunaan acara trek.

Ia sepasang kasut sukan biasa yang tidak sesuai untuk dipakai sebagai pelumba lari.

Namun Terezinha tetap berlatih - bermula dengan larian 5km, kemudian 18km sebelum ke kategori 21km. Semuanya ditamatkan dengan masa yang sangat baik.

Ditanya jika ada sebarang peristiwa yang membuat dia kesal, Terezinha menggeleng kepala.

"Jika saya dapat mengulangi masa silam, saya akan lakukan apa yang saya buat sebelum ini. Tiada apa-apa yang saya sesali," katanya.

Terezinha akan menyertai kejohanan Paralimpik 2016 pada 7 hingga 18 September ini di Rio de Janeiro.

Sebagai persediaan dia menjalani latihan ketat setiap hari. Sebahagian besar masanya dihabiskan di padang. Turut ditekankan ialah aspek pemakanan serta rehat mencukupi.

Lihat Komen
ADS