Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Lelaki Sweden, doktor gigi arkitek bola Iceland
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 8:32 PM
Dikemaskini: Jun 29, 2016 4:08 AM

Tidak seperti pasukan lain, Iceland memang berbeza sejak dari watak di belakang tabir lagi.

Jika pasukan lain dikendalikan seorang pengurus atau ketua jurulatih, Iceland memiliki dua orang 'bos' - Lars Lagerback dan Heimir Hallgrimsson.

Daripada gabungan Lagerback dan Hallgrimsson maka terhasillah skuad kebangsaan Iceland yang bersedia menggempur lawan mereka seterusnya pada Euro 2016.

Awal pagi tadi mereka sudah mengejutkan England pada aksi terakhir pasukan 16 terbaik.

Pada 3 Julai ini strategi mereka akan diuji pasukan tuan rumah pula, Perancis.

Dari bilik persalinan Lagerback menerapkan program ideal - sesuai dengan pengalaman panjang dimilikinya, manakala Hallgrimsson menguruskan pemain skuad Strakarnir Okkar (Our Boys) seperti melayan pesakitnya.

Jika anda belum tahu, selain menjadi pemain bola sepak Hallgrimsson ialah seorang doktor gigi dan kini meneruskan kerjayanya itu secara sambilan.

Iceland mencipta impian mereka tersendiri di pentas Euro kali ini. Tanpa dipilih sebagai pasukan perlu diawasi lawan, pemain dari negara seluas kira-kira 21,700 kilometer persegi lebih kecil daripada Sarawak dan lebih popular kerana gunung berapi berbanding sukan itu terus melakar kejutan demi kejutan.

Tidak terlalu drastik

Bermula dengan perlawanan peringkat kumpulan F menentang Portugal, Iceland berhasil mengecewakan Cristiano Ronaldo dan rakan-rakannya apabila mengikat skuad itu 1-1.

Apabila persaingan peringkat kumpulan berakhir tanpa diduga Strakarnir Okkar menjadi pasukan di kedudukan kedua kumpulan A dengan rekod tanpa kalah, sekali gus layak ke aksi 16 pasukan terbaik.

Di peringkat itu mereka mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir apabila mengetepikan skuad jauh lebih gah, England dengan 2-1.

Jika diteliti secara adil, prestasi Iceland tidaklah meningkat terlalu drastik, malah kemaraan dan ancaman mereka mula dirasai seawal pusingan kelayakan.

Belanda menjadi mangsa negara berudara sejuk itu dengan kekalahan pada kedua-dua perlawanan.

Rekod penampilan Iceland pada Piala Dunia 2014 juga perlu dilihat kerana mereka menghampiri laluan final sebelum ditewaskan Croatia pada aksi play-off.

Kecemerlangan Iceland di peringkat antarabangsa pula dibuktikan dengan peningkatan ranking Fifa mereka. Dalam tempoh hanya lima tahun skuad Strakarnir Okkar menduduki 100 negara terbaik.

Ketika ini mereka berada di kedudukan ke-34 dan posisi terbaik skuad itu dicapai pada Julai - Oktober 2015 apabila berada di tempat ke-23.

"Tiada ada rahsia. Apa yang yang kami ubah adalah aspek kejurulatihan, fasiliti dan cara kami berlatih," kata Hallgrimsson seperti dilaporkan Daily Record.

Dapat layanan kelas pertama

Sebelum berdepan England, katanya, barisan pemain Iceland melakukan persediaan mental sebagai "pejuang."

"Mereka akan dipersiap seperti tentera bakal ke medan perang," katanya.

Kebangkitan pasukan itu disuntik dengan revolusi Persekutuan Bola Sepak Iceland (FAI) pada 1996. Antaranya mereka mengubah tempat latihan dari lapangan terbuka ke ruang tertutup.

Akhirnya pada 2011, pihak pengurusan FAI memberi tanggungjawab pasukan kebangsaan mereka kepada lelaki Sweden - Lagerback - seorang pengurus yang terkenal dengan ketegasan dan kaya pengalaman.

Lagerback melakukan tugas pertamanya, menuntut FAI menyediakan fasiliti terbaik untuk skuad negara itu.

Antara aspek ditekankan ialah penyediaan pakar pemakanan untuk menguruskan diet pemain. Untuk penerbangan, pemain diberi layanan kelas satu dan menaiki pesawat udara sewa khas untuk ke kejohanan berprestij.

FAI pula mencadangkan seorang jurulatih tempatan sebagai gandingan Langerback, iaitu Hallgrimsson.

Selain bertugas sebagai doktor pergigian, dia juga memegang rekod sebagai jurulatih pertama memiliki lesen profesional Uefa di negara itu.

Hallgrimsson pernah menyifatkan Lagerback sebagai "gila" kerana sanggup menjadi jurulatih Iceland walalupun mengakui lelaki 64 tahun itu mempunyai modul yang jelas.

Bagi Lagerback sendiri, dia mempunyai alasan kukuh untuk menerima tugas itu. Di mata Lagerback FAI begitu serius mahu membangunkan bola sepak mereka. Justeru tugasnya membentuk pasukan ampuh menjadi lebih mudah.

"Salah satu sebab kejayaan bola sepak di sini kerana mereka mempunyai banyak jurulatih yang berpengetahuan sejak lima tahun lalu disamping sistem yang memang baik," katanya.

Sementara itu bagi Hallgrimsson, apa yang dipraktikannya di klinik dibawa pula ke padang bola. Semua pemain dilayan seperti pesakitanya.

"Bukan sedikit orang yang takut menemui doktor gigi. Maka, perlu bersikap santai dengan pesakit, bergurau atau berdiskusi secara serius mengikut kaedah tertentu.

"Dengan cara itu, saya menguruskan pemain yang pastinya memiliki karekter berbeza-beza," jelasnya.

Lihat Komen
ADS