Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

FAM hari ini menafikan dakwaan-dakwaan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkait isu persaraan empat pemain pasukan itu bersama skuad kebangsaan.

Pemain tersebut ialah Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amirul Hadi Zainal dan S Kunalan yang mengumumkan persaraan masing-masing minggu lalu.

Antara dakwaan yang dinyatakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini ialah ramai pemain cedera kerana sistem latihan skuad negara, pemain letih dengan panggilan skuad kebangsaan, tidak menjaga kebajikan pemain dan ramai ahli perniagaan dalam FAM dan budaya rasuah.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada keempat-empat pemain ini menerusi kelab mereka bagi meminta pemain tersebut menulis surat persaraan daripada skuad kebangsaan.

Katanya, surat itu sebagai hitam putih dan perlu menyatakan sekali sebab-sebab utama mendorong pemain berkenaan berbuat demikian.

"Saya juga meminta ketua jurulatih kebangsaan supaya mula merancang persiapan pasukan tanpa pemain tersebut sebagai langkah awal jika mereka berempat tetap dengan pendirian untuk bersara.

"Tetapi pintu terhadap pemain-pemain ini masih terbuka untuk kembali dipanggil sekiranya mereka mengubah fikiran dan mempertimbangkan semula keputusan itu," katanya dalam kenyataan kepada media pada sidang media bulanan FAM, di Kelana Jaya hari ini.

Selangor, PDRM turut cedera

Hamidin berkata, dakwaan bahawa latihan skuad kebangsaan tidak berintensiti tinggi menjadi punca kecederaan pemain selepas pulang daripada kem latihan pusat adalah tidak benar.

Menurutnya, sepanjang siri jelajah Oceania di Australia, Papua New Guinea, New Celedonia dan Fiji dari 11 hingga 29 Jun lalu hanya empat pemain mengalami kecederaan.

"Mereka terdiri daripada Shahrom Abdul Kalam (Selangor), Mahali Jasuli (JDT), Abdul Latiff Suhaimi (PDRM) dan Zaquan Adha Abd Radzak (JDT).

"Ini membuktikan kenyataan bahawa lima pemain JDT mengalami kecederaan selepas pulang daripada kem latihan skuad kebangsaan adalah tidak benar," jelasnya.

Selain itu, dakwaan TMJ pemain tersebut sudah letih dengan panggilan negara dan menghabiskan masa berbulan-bulan untuk kem latihan tidak bermanfaat juga ditolak sama sekali.

Jelas Hamidin, FAM tidak perlu meniru program latihan pasukan negara jiran dan mengikut tempoh waktu kem latihan mereka kerana jadual liga domestik setiap negara berbeza.

Justeru kata, program latihan pusat skuad kebangsaan yang diatur perlulah mengikut keadaan dan tempoh yang sesuai.

"Kenyataan bahawa persatuan tidak menjaga kebajikan pemain di kem latihan skuad kebangsaan juga adalah tidak benar sama sekali.

"Ini kerana semua keperluan telah disediakan lengkap untuk mereka termasuk tempat tinggal di hotel, pakaian, makanan, dan pengangkutan.

"Selain itu, setiap pemain turut diberi elaun harian dan bonus perlawanan bersesuaian dan berpatutan sepanjang tempoh mereka berada dalam kem latihan pusat," ujarnya.

Jawatankuasa pantau rasuah

FAM bagaimanapun tidak menafikan dakwaan Tunku Ismail terdapat ramai ahli perniagaan berada dalam organisasi badan induk bola sepak negara itu.

"Ini memandangkan mereka dipilih dari kalangan mereka yang bertanding dari seluruh ahli gabungan FAM. Ini juga berlaku dalam mana-mana persatuan sukan kebangsaan yang lain.

"Malah, selain ahli perniagaan, terdapat juga ahli politik dan pegawai dari jabatan kerajaan serta swasta yang menganggotai organisasi persatuan ini dan mereka sebenarnya terdiri daripada semua jenis golongan di kalangan rakyat Malaysia," kata Hamidin.

Tambah beliau, FAM juga tidak membenarkan budaya rasuah dalam persatuan itu kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut bertegas dalam menangani rasuah.

"Jawatankuasa Integriti juga ditubuhkan FAM untuk memantau bukan sahaja pasukan bola sepak, malah keseluruhan pentadbiran dan juga barisan kepimpinan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS