Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan


Pengendali skuad Pulau Pinang, Nenad Bacina tidak mahu anak buahnya terlalu ghairah selepas membuat kejutan menundukkan Kedah dalam aksi Liga Super malam tadi.

Sebaliknya, Bacina menyifatkan perjalanan pasukan Harimau Kumbang itu dalam Liga Super masih jauh, walaupun mengakui prestasi yang ditunjukkan dalam tiga perlawanan terakhir menampakkan kemajuan.

"Masih ada lagi bahagian yang perlu diperbaiki dan diperkukuhkan," katanya yang mengambil alih tugas ketua jurulatih pasukan itu sejak akhir bulan lepas.

Beliau yang menggantikan Jackson Tiago berkata penyerang baharu skuad Harimau Kumbang, Ranti Martins juga beraksi dengan baik walaupun gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir.

"Dia telah cuba yang terbaik walaupun masih cedera menyebabkannya tidak dapat bermain dengan sepenuh tenaga," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Bandaraya di sini malam tadi, Pulau Pinang mengutip tiga mata selepas menewaskan Kedah 3-2 hasil dua jaringan pemain import baharunya Jeong Seok Min pada minit ke-24 dan 36 serta ketua pasukan Mathias Cordoba dua minit selepas waktu rehat.

Dua gol Kedah pula dijaringkan Liridon Krasniqi pada minit ke-14 dan sepakan penalti Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-76.

Selepas bermain dalam tiga perlawanan Liga Super bersama Pulau Pinang sejak menyertai pasukan itu awal bulan ini, Seok Min telah menghasilkan empat jaringan manakala Ranti pula satu gol.

Sementara itu, jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe berkata Pulau Pinang mempunyai kelebihan kerana pemainnya lebih cergas berikutan tidak beraksi dalam Piala Malaysia.

"Dalam perlawanan ini, kami menurunkan banyak pemain muda dan merehatkan beberapa pemain yang beraksi di Piala Malaysia. Dua penyerang utama kami juga tidak dapat diturunkan atas faktor kesihatan," katanya.

Kemenangan ke atas Kedah itu membolehkan Pulau Pinang yang sebelum ini berada di tempat tercorot liga melonjak ke tangga ke-10 dengan 14 mata.

Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada pendahulu liga JDT pada 3 Ogos ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS