Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dituduh tak hargai atlet, tapi Paralimpik belum mula
Diterbitkan:  Aug 29, 2016 10:09 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menolak dakwaan atlet paralimpik negara tidak diberi perhatian kerajaan, seperti cuba digambarkan di media sosial.

Beliau merujuk terhadap keghairahan pengguna maya yang berkongsi video berkaitan, antaranya kemenangan Ridzuan Puzi dalam acara 100 meter.

“Sebenarnya, video itu daripada tahun 2015 di Kejohanan Dunia Olahraga Para bukannya di Paralimpik 2016. Paralimpik 2016 yang dianjurkan di Rio belum bermula lagi.

“Kontinjen Paralimpik Malaysia belum berlepas lagi (mereka berlepas esok) dan saya baru sahaja berjumpa dengan mereka petang tadi (ada gambar di bawah).

“Jadi mustahil berlaku apa-apa kemenangan Paralimpik 2016 sebab temasya tersebut belum bermula lagi,” katanya dalam tulisan di Facebook.

Temasya Paralimpik 2016 di Rio de Jeneiro akan berlangsung antara 7 hingga 18 September ini.

Khairy menjelaskan Ridzuan sentiasa diraikan dalam pelbagai acara dan diberikan imbuhan yang sama seperti atlet 'biasa'.

Malah, katanya, sejak dilantik menteri, insentif kemenangan bagi atlet 'biasa' dan atlet Para atau Orang Kurang Upaya (OKU) adalah sama rata.

“Beliau menang anugerah di Anugerah Sukan Negara yang disiar secara langsung dengan keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Beliau di angkat sebagai anak muda terbilang di Perhimpunan Pemuda Umno,” katanya yang juga ketua Pemuda Umno.

“Biar gambar berbicara apa yang telah kita laksanakan. Sama juga untuk atlet para yang lain seperti Felicia Mikat yang juga dinobatkan di Anugerah Sukan Negara.”

Lihat Komen
ADS