Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Bernhardt sukar bentuk skuad hadapi Sukan SEA
Diterbitkan:  Aug 29, 2016 10:53 PM
Dikemaskini: 3:00 PM

Skuad bawah 22 tahun negara berada dalam situasi sukar kerana hanya dua kali dipanggil tahun depan sebagai persiapan untuk Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Jurulatih Skuad bawah 22 tahun Frank Bernhardt berkata peluang pasukan untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA adalah sukar kerana beliau masih tidak dapat menjalankan kem latihan selain perlawanan antarabangsa yang disertai oleh skuad itu juga kurang.

"Jika mengikut kalendar Fifa, kami hanya dua kali dipanggil pada 2017 dan masa itu tidak cukup untuk menyiapkan pasukan untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA.

"Saya dimaklumkan bahawa satu mesyuarat akan diadakan dan pengurusan kami akan berbincang dengan persatuan bola sepak negeri mengenai perkara ini dan kita akan melihat apa penyelesaiannya," katanya ketika ditemui pemberita di FAM, Kelana Jaya hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM bersedia membayar gaji pemain skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun selagi persatuan bola sepak negeri membenarkan mereka menjalani latihan di bawah Bernhardt sebagai persiapan untuk Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Pengurus skuad bawah 22 Tahun, Datuk Rozabil Abdul Rahman akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan wakil pasukan-pasukan yang terlibat dalam Piala Presiden, Liga Super dan Liga Premier esok.

Ketika mengulas mengulas mengenai perlawanan persahabatan antara Skuad Bawah 22 tahun Malaysia menentang pasukan Bawah 22 Tahun Bahrain di Stadium Shah Alam esok, beliau mahu anak-anak buahnya mengekalkan corak persembahan dan pemain juga perlu tahu bagaimana untuk menghadapi situasi yang tertekan.

"Kekalkan corak permainan sepanjang beraksi ... mereka juga perlu menggunakan strategi bertahan dan mewujudkan peluang untuk memenangi perlawanan.

"Sesetengah pemain baru pertama kali beraksi dan bukan mudah untuk mereka mencapai tahap yang kita sasarkan dalam kem latihan sebelumnya," kata beliau.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun Bahrain, Marjan Eid berkata pemain-pemainnya perlu membuktikan pencapaian yang baik kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai peluang untuk beraksi dalam liga tempatan.

"Kami mempunyai 22 pemain dan akan membuat rombakan sepanjang masa bergantung kepada keperluan. Semua persiapan ini ialah untuk pusingan kelayakan Asia Bawah 22 Tahun tahun depan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS