Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Awal musim mencabar buat Liverpool
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 12:31 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Permulaan EPL untuk tiga minggu pertama ternyata memberi pengajaran penting untuk kelab seperti Liverpool khususnya berdepan dengan lawan yang menggunakan taktikal bertahan.

Awal musim dianggap mencabar buat anak didik Jurgen Klopp apabila mereka harus bertandang ke gelanggang lawan untuk tiga perlawanan pertama.

Tiga perlawanan itu menyaksikan mereka menang 4-3 ke atas Arsenal di Emirates, seri 1-1 bertemu Tottenham dan kalah 0-2 kepada pendatang baru, Burnley.

Bagi penyerang The Kop, James Milner, dia mengakui Liverpool berdepan masalah apabila bertemu kelab yang beraksi dengan percaturan bertahan.

Keadaan itu lebih sulit berbanding menghadapi kelab besar yang cenderung dengan corak permainan terbuka.

"Menang di Arsenal dan seri di Tottenham, ada isyarat positif. Tapi jika anda lihat musim lalu, kami tidaklah bermasalah bertemu kelab teratas liga.

"Kami kesulitan bertemu pasukan yang merapatkan posisi pertahanan mereka, tidak terlalu mahu melawan dan sekadar melakukan serangan balas" katanya seperti dilaporkan portal liverpoolecho.co.

"Ini adalah sesuatu yang boleh diambil sebagai pengajaran. Kami perlu belajar untuk memecahkan lawan yang bertahan dan tidak menyerang kami.

"Kami perlu memperbaikinya dan lebih tajam di depan gawang," tambahnya.

Sementara itu, pemain 30 tahun itu yakin Liverpool dapat mengakhiri musim ini sekurang-kurangnya pada kedudukan empat teratas.

"Saya tak melihat kenapa skuad ini tidak boleh berakhir di kedudukan empat teratas, kami sudah menunjukkan sepanjang musim lalu bahawa kami boleh mengalahkan sesiapa pun," katanya.

Liverpool kini berada di kedudukan ke-11 EPL musim ini dan rekod musim lalu menyaksikan mereka mengakhiri musim di tangga kelapan.

Lihat Komen
ADS