Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika dahulu Merdeka dikaitkan dengan perjuangan menentang penjajah namun kini perjuangan itu lebih kepada meletakkan nama Malaysia gah di persada dunia.

Perjuangan dan pengorbanan sebelum negara mencapai kemerdekaan sememangnya sesuatu yang besar nilainya, tetapi untuk mempertahankan kedaulatan negara dan meletakkan Malaysia dalam peta sukan dunia juga menuntut pengorbanan besar daripada warga sukan.

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, 17, boleh dianggap seorang srikandi negara dan 'pahlawan kecil' apabila buat pertama kali membawa cabaran negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, baru-baru ini.

Walaupun beliau tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat namun perwatakannya yang sentiasa ceria dan tersenyum ketika beraksi dalam acara 10m platform dan 3m papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong, menarik minat penonton dan media antarabangsa.

"Apa yang saya faham, merdeka membebaskan generasi muda daripada sebarang peperangan...kami bersyukur dengan apa yang ada sekarang dan menjadi tanggungjawab saya sebagai atlet untuk membawa nama negara agar lebih dikenali.

"Semua atlet mesti ada perasaan mahu naikkan nama negara, itu yang penting sebenarnya. Contohnya semasa beraksi di Rio, saya tekad untuk lakukan yang terbaik kerana mahu lagu Negaraku dimainkan dan Jalur Gemilang berkibar di Brazil...tapi saya tiada rezeki di sana," katanya.

Dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Nur Dhabitah sekadar mengakhiri saingan di tempat kesembilan dengan mengumpul 338.00 mata dalam acara 10m platform manakala dalam acara 3m papan anjal seirama, kedua-dua penerjun itu terlepas peluang meraih gangsa dan hanya menduduki tangga kelima.

Pencapaian Nur Dhabitah di Rio itu telah meletakkannya sebagai sandaran utama negara untuk meraih pingat di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan disebut-sebut sebagai pengganti ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg.

Malaysia digeruni

Sementara itu, Jun Hoong, 26, pemenang pingat perak 10m platform seirama, tidak dapat menggambarkan perasaannya ketika pingat dikalungkan ke lehernya dan Pandelela ketika itu.

Perasaan gembira bercampur terharu dapat dirasai apabila berjaya menjulang nama Malaysia di podium Olimpik, lebih-lebih lagi dalam acara terjun yang banyak didominasi oleh penerjun dari China dan Eropah.

"Saya amat bangga dapat mewakili negara terutama di kejohanan antarabangsa, apatah lagi meraih kejayaan di sana. Secara tidak langsung, kemenangan itu membuatkan atlet Malaysia, mula digeruni.

"Saya sendiri, akan sebaik mungkin melakukan aksi terbaik bagi menghormati dan menghargai pengorbanan pahlawan dahulu dalam memberi kebebasan dan kemakmuran yang kita kecapi kini," katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua mereka meraikan 31 Ogos, Nur Dhabitah dan Jun Hoong sentiasa mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Kedua-dua mereka teruja untuk mempamerkan semangat kemerdekaan yang bakal disambut buat kali ke-59 dengan tema 'Sehati Sejiwa'.

Bekas Olimpian, Bryan Nickson Lomas yang merupakan atlet kedua termuda beraksi di temasya Olimpik Athens 2004 mengakui beliau rasa bangga dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang ketika itu.

"Dapat tabur bakti untuk negara dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik adalah detik yang amat membanggakan. Bagi atlet, kita bekerja keras untuk bertanding dan membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

"Keputusan yang cemerlang di peringkat antarabangsa mahupun di Olimpik itu sebenarnya yang boleh membawa nama Malaysia lebih dikenali di seluruh dunia," katanya.

Bryan, 26, pernah mencuri perhatian penonton di Stadium Olimpik, Maroussi ketika membawa Jalur Gemilang yang jauh lebih tinggi daripada ketinggiannya sendiri.

Bryan sekadar menamatkan cabaran di tempat ke-19 dalam acara 10m platform pada penampilan sulung dalam Sukan Olimpik itu.

Selain Olimpik di Athens, Bryan juga pernah beraksi di temasya Beijing pada 2008 dan London pada 2012.

-Bernama

Lihat Komen
ADS