Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Selangor hidupkan harapan ke aksi final
Diterbitkan:  Oct 1, 2016 11:07 PM
Dikemaskini: 8:05 PM

Skuad bola sepak Selangor menghidupkan harapan untuk ke aksi final selepas berjaya mengatasi T-Team 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2016, sebentar tadi.

Walaupun hanya kemenangan tipis, The Red Giant sekurang-kurangnya membuktikan mereka mampu membawa bekalan untuk aksi timbal-balik 15 Oktober nanti.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, anak buah K Gunalan berdepan tekanan tersendiri khusunya di separuh masa pertama.

Tampil menguasai perlawanan sebaik wisel sepak mula, Selangor sempat merekodkan beberapa percubaan menarik menguji benteng pertahanan lawan.

Selangor hampir menggembirakan penyokong mereka seawal minit ketiga sepak mula melalui percubaan Patrick Ronaldhinho.

Namun, rembatan lemah penyerang import dari Liberia berjaya diselamatkan penjaga gol T-Team, Ilham Amirullah Razali.

Sepuluh minit berselang, kapten Selangor Andik Vermansyah turut mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol.

Bagaimanapun, rembatan kencang penyerang dari Indonesia itu sekali lagi dinafikan penjaga gol skuad The Titans.

Sebaliknya, T-Team yang turut memberi tentangan sengit tampil mengejutkan penyokong tuan rumah sebaik dihadiahkan sepakan penalti.

Kesilapan pemain pertahanan Selangor mengasari lawan dalam kotak penalti itu berjaya disempurnakan Patrick Cruz Dos Santos untuk pelawat mendahului 1-0 di minit ke-22.

T-Team mendapt suntikan semangat untuk terus mengasak pertahanan Selangor selepas agak selesa di depan buat seketika.

T-Team hilang fokus

Anak buah Rahmad Darmawan tampil mengimbangi penguasaan jentera serangan Selangor melalui serangan balas pantas. Sayangnya mereka dilihat mudah hilang fokus.

Banyak umpanan dan hantaran dilakukan pemain pasukan berstatus kelab dari Terengganu itu dilihat hilang punca dan gagal dibaca sesama mereka.

Sebaliknya Selangor yang terdesak untuk menyamai kedudukan terus mengasak dan bijak mengambil kesempatan setiap kesilapan pemain T-Team.

Ahmad Hazwan Bakri muncul membuka harapan untuk Selangor terus mengejar kemenangan apabila meledak gol penyamaan di hujung 45 minit pertama.

Kembali dari bilik persalinan, babak masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi lebih agresif dengan kedudukan terikat 1-1.

Nasib ternyata lebih berpihak kepada pasukan tuan rumah. Ugo Ukah memastikan Selangor meraih kemenangan dengan jaringannya pada minit ke-80 sekali gus membuka harapan meneruskan misi kejuaraan ke-34.

Bagaimanapun, Selangor tidak boleh terlalu selesa ketika berkunjung ke gelanggang lawan pada aksi kedua nanti susulan satu gol berjaya dibawa pulang T-Team sebagai bekalan mereka.

Lihat Komen
ADS