Paling Popular
Terkini
story images
story images

Final Piala Malaysia yang akan berlangsung pada Ahad ini sudah pastinya ditunggu-tunggu oleh ribuan penyokong setia pasukan Kedah.

Pertemuan menentang Selangor di Stadium Shah Alam bagaimanapun dilihat bukan satu tugas mudah bagi skuad hijau kuning, apatah lagi perlu beraksi di kubu lawan.

Namun laluan sukar itu tentunya tidak menjadi penghalang kepada pasukan kendalian Tan Cheng Hoe untuk mencipta kejayaan manis, sekali gus menebus kekecewaan  pada perlawanan akhir ketika bertemu Selangor musim lalu.

Berikut lima sebab utama mengapa skuad Lang Merah harus membenamkan The Red Giant dan membawa pulang piala berprestij itu ke negeri jelapang padi.

Sekat monopoli Selangor

Asyik-asyik Selangor, itulah yang sering dilontarkan oleh peminat bola sepak tempatan susulan kejayaan Selangor yang dilihat memonopoli kejohanan berprestij tertua Malaysia itu.

Pada edisi lalu, skuad The Red Giant merangkul kejuaraan kali ke-33 sekali gus menjadi pasukan paling banyak meraih gelaran dalam sejarah Piala Malaysia

Skuad kendalian K Gunalan kini turun dengan misi ke-34 selepas prestasi turun naik mereka sepanjang musim ini.

Sekiranya berjaya menewaskan Selangor, pasukan Kedah mengulangi kecemerlangan mereka pada edisi 2008 dan merangkul Piala Malaysia buat kali kelima.

Kredibiliti Tan Cheng Hoe

Sejarah bola sepak Kedah pada zaman kegemilangannya adalah di bawah kendalian jurulatih Azraai Khor Abdullah. Sepanjang enam tahun mengemudi pasukan itu, beliau berjaya membawa pelbagai kejayaan.

Dalam tempoh 2004 hingga 2009, Kedah layak ke pentas akhir Piala Malaysia sebayak tiga kali dan menjuarainya dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Selepas itu, prestasi Kedah mula merosot malah terkandas ke saingan Liga Perdana.

Kehadiran Cheng Hoe sebagai jurulatih sejak 2014 dilihat memberi impak dan semangat baru. Malah bekas pemain Kedah itu juga berjaya membawa Helang Merah kembali ke Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana 2015.

Namun, sayangnya ketika pemain Kedah berjuang pada aksi suku dan separuh akhir Piala Malaysia 2015, mereka bukan dibimbing Cheng Hoe dan tugas jurulatih diambil alih Ramon Marcote.

Ketika itu, Cheng Hoe menjalani latihan kejurulatihan lanjutan di China dan sekembalinya dari China dia gagal membawa Kedah untuk menjuarai Piala Malaysia 2015.

Kali ini, waktu yang tepat untuk Cheng Hoe membuktikan kredibilitinya sebagai jurulatih selepas momentum positif ditunjukkan anak buahnya sepanjang musim ini.

Selain mara ke perlawanan akhir Piala malaysia, Kedah turut meraih tempat ketiga Liga Super musim ini dengan meraih 37 mata.

Hadiah persaraan Yang di-Pertuan Agong

Umum mengetahui takhta tertinggi pemerintahan negara digalas Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan baginda akan menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada penghujung tahun ini.

Tuanku Abdul Halim ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2011 selepas kali pertama menaiki tahkta untuk tempoh 1970 hingga 1975.

Sehubungan itu, pastinya besar harapan rakyat negeri Jelapang Padi untuk melihat pasukan bola sepak Kedah menjulang Piala Malaysia 2016 sekali gus sebagai hadiah persaraan bermakna buat Sultan Kedah.

Penghargaan untuk penyokong

Pentingnya Piala Malaysia 2016 bagi penyokong skuad Helang Merah bagi menebus kekecewaan mereka selepas tewas pada Selangor pada perlawanan akhir musim lalu.

Penyokong Kedah merupakan penyokong bola sepak yang boleh dinobatkan antara 'penyokong fanatik', malah pada musim lalu mereka mencatatkan kehadiran paling tinggi ke stadium.

Penyokong skuad Hijau Kuning ini sanggup bermalam di stadium semata-mata untuk menunggu jualan tiket bermula, malah pelbagai reaksi dilakukan untuk memeriahkan perlawanan akhir Piala Malaysia.

Tahun lalu misalnya, seorang pelari veteran, Nasir Abas sanggup berlari secara solo dari Alor Setar ke Shah Alam selepas pasukan Kedah berjaya melangkah ke saingan akhir.

Justeru, penyokong Kedah pastinya meletakkan harapan tinggi untuk melihat kejayaan anak buah kejurulatih Tan Cheng Hoe mengatasi pasukan Selangor, Ahad ini. Satu kepuasan besar jika impian mereka terlaksana.

Kejayaan pimpinan Ahmad Bashah

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku menteri besar turut diangkat sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Dengan pelantikan Ahmad Bashah yang dilihat kontroversi, sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat Kedah termasuk penyokong bola sepak negeri itu.

Semasa kepimpinan Mukhriz, pasukan Kedah sedang meningkat naik dan berjaya muncul juara Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Kehadiran Ahmad Bashah juga mencetuskan kontroversi dalam KFA melibatkan isu penajaan pasukan pada awal musim ini dan kepercayaan penyokong terhadap beliau agak menipis susulan kontroversi itu.

Justeru, adakah Piala Malaysia 2016 akan menjadi petanda aras kejayaan kepimpinan Ahmad Bashah untuk mewujudkan rasa bangga di kalangan penyokong?

Dan inilah juga masa sesuai untuk Ahmad Bashah meraih sokongan ribuan penyokong Kedah.

Lihat Komen
ADS