Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Vida Beauty tangguh taja Kelantan
Diterbitkan:  Oct 29, 2016 11:58 PM
Dikemaskini: 4:03 PM

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan penaja utama pasukan Kelantan, Vida Beauty Sdn Bhd bersetuju menangguhkan sementara penajaan pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan itu dicapai dalam pertemuan pihaknya dengan pemilik syarikat itu, Datuk Seri Hasmiza Othman baru-baru ini.

"Datuk Seri Vida (Hasmiza) yang mahu menangguhkan sementara penajaan tersebut dan bukan membatalkannya," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Annuar berkata sekiranya syarikat itu mahu menyambung kembali tajaannya pada Liga Malaysia 2018, segala perjanjian dalam kontrak penajaan tersebut masih terpakai.

"Kafa amat berterima kasih kepada syarikat tersebut di atas tajaan yang diberikan sepanjang tahun ini walaupun persatuan terpaksa mencari kaedah lain dalam menampug beberapa kos selepas ini," katanya.

Tambah Annuar, Kafa sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak penaja dan cuba mengelak daripada berlakunya konflik kerana ia tidak menguntungkan.

Katanya, Kafa kini sedang berunding dengan beberapa penaja untuk menaja pasukan Kelantan pada musim akan datang.

Media sebelum ini melaporkan syarikat Vida Beauty berhasrat untuk tidak menaja pasukan Kelantan pada Liga Malaysia musim depan.

Mengikut perjanjian asal, syarikat itu masih mempunyai kontrak penajaan setahun lagi dengan pasukan berkenaan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS