Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Azizulhasni semarakkan buruan emas di Sukan Sea

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya skuad negara mampu meraih antara 11 dan 13 pingat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA 2017.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata beliau yakin sebahagian besar pingat emas itu akan datang daripada acara trek.

Menurutnya kehadiran pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Mohd Azizulhasni Awang pasti akan menyemarakkan skuad negara dalam buruan mendapatkan pingat emas pada temasya dwitahunan itu,

"Saya percaya penampilan Azizulhasni akan mencetuskan semangat tambahan kepada skuad negara termasuk Fatehah Mustafa dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

"Sekiranya Azizulhasni mendominasi acara keirin dan pecut individu, saya percaya kem Malaysia mampu bolot antara 11 dan 13 pingat emas," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Acara trek akan membuka tirai pada 28 Ogos tahun depan dengan acara scratch 15km omnium elit lelaki disusuli pusingan kelayakan pecut berpasukan lelaki dan wanita elit.

Aksi yang dijangka menjadi tumpuan ramai adalah acara final keirin lelaki
elit dan wanita elit pada 29 Ogos di mana skuad negara mempertaruhkan dua pelumba bertaraf dunia, Azizulhasni dan Fatehah.

Abu Samah bagaimanapun mengingatkan pelumba trek Malaysia agar tidak terlalu yakin sehingga gagal melakukan kayuhan emas di Velodrom Nilai nanti.

Antara acara yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA tahun hadapan ialah keirin, omnium, pecut berpasukan, pecut individu, 1km ujian masa individu, ujian masa kejar mengejar individu dan berpasukan, 500m ujian masa dan scratch.  -Bernama
 

Lihat Komen
ADS