Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Biar 'biasa', jersi Harimau Kumbang tetap istimewa

Di sebalik kritikan sesetengah peminat, pengurusan pasukan bola sepak Pulau Pinang tetap berpendapat pemilihan jersi skuad Harimau Kumbang itu memiliki ciri unik tersendiri.

Rentetan itu, satu usaha membantah dan mendesak jersi tersebut ditukar kepada rekaan baru dilakukan melalui petisyen yang dilancarkan penyokong Pulau Pinang.

Namun Pengurus Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, memberitahu mereka sebenarnya mahu mengetengahkan ciri-ciri vintage pada jersi baru skuad berkenaan.

"Selepas dihiasi dengan logo-logo penaja ia akan lebih menarik," katanya.

Menurut anggota parlimen Bukit Bendera itu (gambar), beliau sedar cita rasa seseorang berbeza-beza dan bersifat relatif.

Walaupun ada peminat yang kurang senang dengan jersi baru Pulau Pinang, sebahagian yang lain tetap menggemarinya.

"Nak puaskan hati semua orang memang mustahil," katanya ketika dihubungi Malaysiakini Sukan.

Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Pulau Pinang mengkritik jersi yang diperkenalkan pada Jumaat lalu.

Rata-rata mereka menyifatkan rekaan jersi tersebut buruk dan terlalu biasa.

Berdasarkan gambar dimuat naik gambar di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), jersi tersebut diperkenalkan dalam dua warna iaitu biru muda yang dikombinasi dengan seluar putih, serta jersi putih dengan seluar hitam.

Difahamkan penghasilan jersi itu dipertanggungjawab kepada syarikat pengeluar pakaian sukan terkemuka dari Itali, LEGEA.

Zairil berkata, beliau sedar ada pihak yang mempertikaikan penampilan jersi itu dan mahu memboikot.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin peminat sejati Harimau Kumbang akan bangga menggayakan logo pasukan mereka dan bukan sekadar pada baju semata-mata.

"Logo FAP itu yang membanggakan kerana ia melambangkan pasukan kita. Rekaan memang ikut cita rasalah," jelasnya.

Beliau turut menegaskan pihaknya perlu berhati-hati dengan sesetengah pihak yang mengaku sebagai penyokong tetapi hanya berminat untuk menghasut dan menjadi batu api.

"Saya curiga dengan motif sesetengah pihak yang menghasut ini," ujarnya.

Beliau turut membuat perbandingan dengan jersi rasmi pasukan JDT yang juga baru dilancarkan.

"Ini baju pasukan JDT yang baru dilancarkan, Ia hanya baju T yang kosong dengan logo. Kenapa tiada ada pihak yang mempertikaikan?

"Trend memang ke arah simple," katanya sambil menjelaskan jersi yang diperkenalkan itu akan ditambah dengan logo penaja," katanya.

Lihat Komen
ADS