Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala Sumbangsih hadiah Keputeraan Sultan Kedah

Kemenangan Kedah merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang lawan malam tadi disifatkan sebagai hadiah sempena Hari Keputeraan Ke-89 Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar berkata, ia juga sebagai pencetus kepada pasukan Lang Merah itu untuk beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super.

"Alhamdulillah kemenangan ini sangat bermakna buat Kedah yang sedang menyambut Hari Keputeraan Sultan dan kememenangan malam tadi sebagai penyuntik semangat untuk terus beraksi cemerlang.

"Ini kesungguhan pemain yang bertungkus-lumus untuk menang. Bukan mudah untuk kami menundukkan JDT di tempat mereka," katanya kepada Bernama.

Pada perlawanan itu bintang import, Liridon Krasniqi muncul wira Kedah apabila menghasilkan gol kemenangan ketika menundukkan JDT 5-4 menerusi sepakan penalti, sekali gus merangkul piala itu.

Aksi perlawanan sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor itu yang juga pembuka tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2017, terpaksa dilanjutkan kepada sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit.

Beliau yang nyata berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukan pemain mengharapkan sang juara Piala Malaysia musim lalu itu agar tidak leka dibuai kemenangan awal sebaliknya perlu bersiap sedia menghadapi lawan selepas ini.

"Aksi pembuka tirai ini membuktikan pemain nampak telah bersedia lebih awal namun harus diingatkan mereka bakal berdepan dengan permainan yang lebih getir daripada pasukan lawan," katanya.

Aminuddin berkata pemain-pemain import yang baharu juga dapat bermain dengan baik dan menunjukkan keserasian dengan pemain lain.

"Namun ada beberapa kelemahan yang kita kesan dan cuba atasi secepat mungkin untuk saingan selepas ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS