Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Penswastaan Liga Malaysia merupakan satu usaha yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia LLP (FMLLP) untuk membolehkan Liga Malaysia dimiliki bersama antara FAM dan pasukan-pasukan yang bertanding di dalam liga tersebut.

Hal ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme di dalam arena bola sepak Malaysia.

Perkara ini sepatutnya berlaku pada tahun 2015, kemudian dianjak ke tahun 2016 sebelum dilanjutkan lagi kepada 2018.

Ia kerana kelembapan pasukan-pasukan di Malaysia untuk diswastakan atau dilesenkan mengikut peraturan Pelesenan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan laporan dari FMLLP, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah pun diswastakan sepenuhnya dengan dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tengku Ismail Sultan Ibrahim.

Pasukan-pasukan lain di Liga Super pula sudah di tahap 80 peratus diswastakan manakala pasukan-pasukan di 100 Plus Liga Premier pula diberi tempoh sehingga 2020 memandangkan ada pasukan yang baru mencapai tahap 50 peratus diswastakan.

Namun begitu, apakah benar pasukan Liga Super sudah pun mencapai tahap 80 peratus diswastakan? Pramusim 2017 menyaksikan bagaimana beberapa pasukan besar mengumumkan akan menarik diri dari bertanding di dalam Liga Super 2017. Hal ini dek kerana kekurangan wang di perbendaharaan pasukan masing-masing.

Lepas tongkat

Perkara ini menunjukkan wujudnya ketidaksediaan pasukan-pasukan di Malaysia untuk melepaskan tongkat yang diberi oleh kerajaan negeri dan mencari kerusi roda yang baharu.

Mereka masih bermentaliti bahawa tanggungjawab memajukan arena bola sepak negeri ialah tanggungjawab kerajaan negeri dan bukan tanggungjawab penyokong secara akar umbi.

Usaha untuk memprofesionalkan pasukan agar lebih mesra peniaga untuk tujuan pemasaran berlaku secara sangat perlahan.

Secara organisasinya, nama sahaja profesional. Namun secara realiti, masih lagi wujud isu kebajikan para pemain diabaikan.

Masalah pemberian gaji secara berkala mengikut kontrak masih lagi berlaku. Sepincang manapun perbendaharaan pasukan, kebajikan para pemain wajar diletakkan sebagai keutamaan.Itu yang jelas di permukaan.

Yang tersorok di dasar adalah apabila para pemain yang tidak begitu berpengetahuan tidak sedar hak mereka ditindas.

Kewujudan budaya dua kontrak (satu untuk FAM, satu “di bawah meja”) menyebabkan kebajikan pemain pasca-kontrak terancam.

Kontrak bawah meja

Kontrak di bawah meja ini lazimnya lebih tinggi namun kontrak untuk FAM inilah yang menjaga hal pencen dan kebajikan pemain.

Kita cuma boleh 'berspekulasi' bahawa perkara ini berlaku kerana pihak pengurusan mahu lepas tangan daripada mengambil usaha yang lebih berat untuk menjaga kebajikan para pemain.

Apabila pihak di atas sedang seronok goyang kaki, yang di bawah merana sedangkan yang berjuang di padang ialah yang di bawah!

Di akar umbi, budaya meraikan pasukan bola sepak tidak lagi mencengkam kukuh. Penyokong cuma akan turun ke stadium apabila pasukan mereka berada di puncak.

Apabila pasukan sedang tersembam mencium bumi, mereka bukannya menarik pasukan untuk bangkit semula, sebaliknya mengecam pemain, merusuh di stadium dan yang lebih teruk, meninggalkan pasukan.

Jersi-jersi pasukan bola sepak tempatan seboleh-boleh dicari yang paling murah sedangkan jersi pasukan Liga Eropah sanggup melabur beratus ringgit.

Walhal, dengan jualan jersi (dan jualan tiket) sedikit sebanyak mampu menunjukkan tanda sokongan kita kepada pasukan bola sepak tempatan.

Namun begitu, tidak wajar juga perkara ini disalahkan sepenuhnya kepada pasukan dan penyokong semata.

Berpijak di bumi nyata

FAM juga mengaut keuntungan besar dari penjualan hak penyiaran televisyen dan hanya memberi sisa-sisa dan serpihan keuntungan kepada pasukan.

Hal ini turut merangkumi bagaimana betapa sedikitnya hadiah kemenangan untuk pasukan-pasukan apabila memenangi piala domestik ataupun Liga Super (beberapa juta ringgit sahaja) sedangkan kos untuk menguruskan kelab adalah di antara RM14 juta hingga RM18 Juta.

Bagaimana perkara ini mahu menjadi tarikan kepada pasukan untuk terus bertanding apabila mereka diswastakan sepenuhnya (bermentalikan perniagaan), masih menjadi satu persoalan.

Penswastaan pasukan merupakan satu insentif yang baik untuk bola sepak Malaysia secara dasarnya.

Tetapi, kita perlu berpijak di bumi yang nyata, bagaimana lanskap bola sepak kita masih lagi belum cukup mesra perniagaan dan menerima sokongan atau mentaliti yang cukup.

Sebelum kita terlajak, lebih baik kita perbaiki dahulu segala kerosakan yang ada di perahu kita kerana ombak di laut tidak mengenal mangsa.

Lihat Komen
ADS