Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
TM FC tewaskan PKNS FC All Stars
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 12:25 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Team Media Football Club (TM FC) mencatat kemenangan sulung bagi musim 2017 selepas menewaskan PKNS FC All Star 3-2 dalam satu aksi persahabatan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, semalam.

Diawal perlawanan PKNS FC All Stars terdiri daripada pengurusan, jurulatih dan bekas pemain awalnya menjadi pasukan pilihan khususnya dengan penampilan bekas jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal serta dua pemain import.

Team Media FC pula dibarisi wartawan sukan diperkuat dengan penampilan istimewa bekas pemain tengah kebangsaan Rezal Zambery Yahya.

Saingan 45 minit pertama menyaksikan pasukan tuan rumah tampil menguasai bola pada awal permainan dengan percaturan Rajagobal di bahagian tengah.

Bagaimanapun TM FC yang berpangkalan di Jalan Riong, Bangsar terlebih dahulu mengejutkan lawan dengan jaringan pertama hasil serangan balas pantas.

Bola yang berpunca daripada gerakan Rezal Zambery menjadi umpanan sempurna berjaya disudahkan penyerang TM FC, Muhammad Zuhaily Badlishah pada minit ke-18.

Tersentak dengan jaringan itu, PKNS FC All Stars bangkit menyamakan kedudukan kira-kira 10 minit berselang.

Kedudukan 1-1 ternyata menghasilkan aksi lebih sengit dengan asakan dan berbalas serangan sekali gus menguji benteng pertahanan masing-masing.

Menjelang waktu rehat, TM FC sekali lagi meletakkan pasukan mereka di depan dengan jaringan kedua melalui kapten mereka Aziman Rosdi.

Sementara itu, babak 45 minit kedua menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan percaturan baru termasuk pertukaran beberapa pemain.

Pasukan pelawat memperkemaskan jentera pertahanan, manakala skuad tuan rumah memperkuatkan jentera serangan mereka.

Hasilnya, PKNS FC All Star sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan dengan percubaan jauh melemaskan penjaga gol pasukan pelawat, Wan Fakhrul Wan Bakar pada minit ke-65.

Kedudukan seri 2-2 ternyata memberi tekanan akhir kepada kedua-dua pasukan menjelang penghujung tempoh perlawanan.

Namun, tuah ternyata milik TM FC apabila penyerang gantian mereka, Rozaidi Zukilfli muncul sebagai wira dengan mencipta gol kemenangan.

Umpanan rakan sepasukan memperdayakan benteng pertahanan lawan disudahkan Rozaidi  dengan rembatan pasu menewaskan penjaga gol tuan rumah pada minit ke-83 untuk keputusan 3-2.


 

Lihat Komen
ADS