Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pemuda PAS sokong TMJ
Diterbitkan:  Feb 25, 2017 1:35 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Cadangan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar tiada campur tangan politik dalam urus tadbir sukan bola sepak di negara ini mendapat sokongan Pemuda PAS, kata ketuanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

“Kita menyokong usaha yang dibuat oleh TMJ dan dari dahulu Dewan Pemuda PAS jelas menyokong sebarang usaha yang membawa kebaikan dalam bidang sukan.

"Kita juga harap sukan bola sepak juga bebas daripada pengaruh istana,” kata Nik Abduh dalam program wawancara dikendalikan oleh TV Harap di tapak Himpunan Harapan Semua – PAS Ganti Umno kali kelima yang sedang berlangsung di Kampung Raja, Besut, Terengganu.

Mengulas lanjut, Nik Abduh yang juga anggota parlimen Pasir Mas berkata Pemuda PAS juga memberi ingatan kepada golongan muda hari ini agar mengambil semangat kecerdasan dan kecergasan dari sukan itu sebagai satu manfaat kepada pembangunan sahsiah diri.

“Kita ambil semangat kesukanan, semangat pertandingan, ketangkasan dan kemahiran supaya dapat kita tingkat diri kita untuk lebih baik, bukan kita jadikan ‘sembahan’ kerana kita ada perkara yang lebih besar dan lebih hebat daripada itu,” tegas Nik Abduh ketika diminta mengulas minat yang mendalam sesetengah pihak terhadap permainan itu.

Perebutan jawatan presiden FAM semakin panas dengan tarikh pengundian pada kongres ke-53 badan itu semakin hampir.

Kerusi presiden FAM kini menjadi rebutan antara Tunku Ismail dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Kedua-dua tokoh terbabit pernah saling berbalas hujah - sama ada secara langsung atau melalui sindiran - dalam beberapa isu.

Secara umum populariti Tunku Ismail ketika ini dilihat tinggi terutama melalui kemampuan beliau mengemudi bahtera kelab JDT.

Bagaimanapun keupayaan Annuar sebagai ahli politik berpengalaman lama tidak harus dipandang sebelah mata.

Pemilihan FAM bolehlah dianggap "kecil" bagi ketua penerangan Umno itu berbanding saingan lebih sengit pernah dialaminya dalam pilihan raya umum beberapa kali sebelum ini.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berharap pertandingan merebut jawatan dalam FAM berjalan dangan baik.

Katanya Annuar dan TMJ mempunyai rekod prestasi cemerlang membawa pasukan masing-masing dalam Liga Super.

Lihat Komen
ADS