FAM positif tarikh baru lawan Korea Utara

   

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima baik keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan tarikh baharu perlawanan bola sepak pusingan kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun depan serta menerima permohonan untuk beraksi di gelanggang berkecuali.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pindaan tarikh itu juga memberi lebih masa kepada skuad Harimau Malaysia bimbingan Datuk Ong Kim Swee membuat persediaan menjelang pertembungan dengan Korea Utara itu.

"Pada dasarnya, FAM menerima baik tarikh berkenaan dan kita memang tidak boleh hendak meminta lebih.

"Untuk persediaan skuad negara pula, kita ada masa untuk buat persiapan sebab masa lebih panjang untuk mempersiapkan pemain. Yang penting kita tidak bermain di Pyongyang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

AFC hari ini mengumumkan tarikh baharu perlawanan pembukaan Kumpulan B pusingan kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia, yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 28 Mac ini.

Aksi pembukaan Kumpulan B itu yang sepatutnya diadakan di Pyongyang, ditangguh atas permohonan FAM untuk mengadakan perlawanan itu di gelanggang berkecuali atas faktor keselamatan.

Ini berikutan situasi tegang hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Korea Utara juga diberi masa sebulan sehingga 14 April untuk mengemukakan cadangan gelanggang berkecuali kepada AFC, dan jika gagal berbuat demikian AFC akan memutuskan venue berkecuali untuk perlawanan berkenaan.

Seandainya venue berkecuali dipilih untuk perlawanan pertama, atas semangat kesukanan perlawanan timbal balik antara kedua-dua pasukan itu juga akan diadakan di venue berkecuali.

Sementara itu, Hamidin berkata FAM juga sedang meninjau beberapa gelanggang berkecuali untuk perlawanan timbal balik antara Malaysia dan Korea Utara pada 14 Nov depan.

"Kita ada dua atau tiga gelanggang yang dalam pertimbangan, antaranya Singapura atau Thailand sebagai venue timbal balik. Kita akan maklumkan nanti apabila tiba masa," katanya.

-Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda