Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Kemuka surat tawaran dulu, kata KFA pada Cheng Hoe
Diterbitkan:  Apr 3, 2017 6:44 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini meminta jurulatih skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe mengemukakan surat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya telah menerima notis penamatan kontrak sebelah pihak daripada Cheng Hoe pada 1 April lalu dan meneliti kandungan surat berkenaan.

"Hasil penelitian terhadap kandungan surat berkenaan, maka KFA meminta Tan Cheng Hoe mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM mengenai perlantikan beliau sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

"Selagi tiada tawaran rasmi dan pengesahan dari pihak FAM, KFA tidak membuat apa-apa keputusan mengenai kedudukan Cheng Hoe dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, jurulatih berusia 49 tahun itu pengesahkan dia sudah memberi notis letak jawatan kepada KFA dan dilaporkan berminat untuk menjadi pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Mario Gomez.

Ahmad Bashah yang juga menteri besar Kedah berkata, setakat ini tiada permohonan rasmi dari FAM mengenai hasrat untuk melantik Tan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.

Menurutnya, secara status quo Cheng Hoe kekal sebagai jurulatih pasukan Kedah kerana beliau masih terikat dengan kontrak perkhidmatan bersama KFA.

"KFA akan membuat keputusan selanjutnya selepas meneliti perkara-perkara yang disebutkan di atas dan memandang serius dengan artikel-artikel di media massa yang boleh memberi imej buruk kepada KFA.

"Diharapkan pihak media lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat dan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dari pihak KFA," jelasnya.

Lihat Komen
ADS