TMJ sasar Piala Dunia 2026

   

Piala Dunia 2026, itulah sasaran yang diletakkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap pasukan bola sepak kebangsaan selepas menerajui badan induk bola sepak negara sejak dua minggu lalu.

Melalui satu wawancara oleh media antarabangsa, Tunku Mahkota Johor itu menyatakan keyakinan beliau walaupun sasaran itu dianggap sesuatu yang sukar dicapai.

"Penyokong mahu kejayaan serta-merta, ini satu cabaran.

"Untuk ke Piala Dunia 2026, adalah sasaran jangka masa panjang. Kita perlu bekerja keras dari sekarang, ubah struktur pentadbiran, mentaliti dan pemikiran semua yang terlibat.

"Saya sudah beritahu kepada mereka (Exco FAM) mengenai (sasaran) Piala Dunia 2026, dan kita perlu lakukannya sekarang," katanya yang menjelaskan hasrat itu adalah satu perancangan jangka panjang FAM.

Terdahulu, Tunku Ismail dilantik sebagai presiden baru FAM melalui Kongres ke-53 pada 25 Mac lalu.

Selepas mengambil alih kepimpinan badan induk bola sepak negara, beliau secara drastik melakukan beberapa perubahan besar.

Antaranya menukar ketua jurulatih skuad kebangsaan dan pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22), mengurangkan jumlah kakitangan FAM dan mengembalikan gelaran Harimau Malaya.

Tunku Ismail berkata, beliau percaya dengan perubahan-perubahan positif yang dilakukan sekarang, Malaysia mempunyai peluang menyertai Piala Dunia 2026.

Untuk rekod, Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan perubahan format dengan 48 pasukan dengan lapan kuota pasukan dari Asia akan bertanding di pusingan akhir kejohanan.

Sementara itu mengulas mengenai nasib skuad Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia 2018 menentang Korea Utara 8 Jun nanti, Tunku Ismail tidak meletakkan keyakinan besar terhadap skuad negara.

"Ia bukan sesuatu yang mudah, Korea Utara satu pasukan yang berdisiplin tinggi dan pasukan hebat. Pasukan kebangsaan kita sudah lama tidur.

"Tetapi saya yakin mereka akan berjuang habis-habisan. Bagi Mario Gomez peluang untuk buktikan sesuatu," jelasnya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda