Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Skuad muda beri nafas baru bola keranjang Malaysia

Berakhirnya kejohanan utama rantau Asia Tenggara, pasukan junior bola keranjang lelaki bawah 16 tahun hampir-hampir dinobatkan juara dalam perlawanan akhir berdepan Filipina.

Walaupun tidak kesampaian, prestasi anak-anak muda ini membuka mata ramai pemerhati industri bola keranjang Asia serta media tempatan Filipina yang menyifatkan persembahan pemain muda Malaysia mampu memberi nafas baru dalam negara.

Malaysia yang baru sahaja menamatkan kejohanan kali ini berjaya mendapat pingat perak sekali gus layak ke kejohanan Piala FIBA Asia nanti.

Anak buah ketua jurulatih Lee Kheng Tian membuktikan kepada negara-negara Asean lain bahawa ketinggian bukanlah penghalang untuk mencabar dan menyaingi mereka, berkat usaha gigih dan strategi mampu menumpaskan lawan.

"Hari ini secara keseluruhannya dan terutamanya dalam perlawanan bersama Filipina, kami telah membuat penyesuaian dalam persediaan bertemu pihak lawan untuk memberi ruang kepada kami untuk menyerang.

"Secara amnya, para pemain faham tentang strategi menangani Filipina. Namun, kami juga telah berlatih lebih satu jam sebelum ini untuk mengenali set pergerakan tetapi maklumlah, ada juga pemain yang masih belum faham sepenuhnya," kata Lee ketika mengulas tentang prestasi pasukan Malaysia pada penghujung kejohanan.

Cari landasan tepat

Lee juga menambah bahawa perkara yang paling penting untuknya adalah untuk mencari hala tuju yang betul untuk pasukan ini.

"Kami faham bahawa strategi seperti yang digunakan ketika kejohanan adalah efektif untuk menyesuaikan pasukan kami dengan pihak lawan seperti Filipina.

"Untuk sepanjang kejohanan ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi para pemain dalam pasukan. Tetapi, banyak lagi ruang untuk mereka perbaiki lagi sebelum ke arena seterusnya.

"Inilah permulaan untuk mereka mengenali poin-poin utama mempertingkatkan prestasi mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi," ujar beliau.

Ditanya sama ada beliau akan memilih semua pemain dalam pasukan kali ini atau tidak, Lee juga berkata keputusan ini juga bergantung kepada prestasi pemain selepas ini.

Katanya, dia juga tidak menolak pemain lain yang lebih baik mungkin menggantikan barisan skuad ini.

"Bergantung kepada prestasi pemain mereka sendiri dan yang paling penting, mereka perlu bersedia untuk memberikan yang terbaik. Ada juga pemain tidak dapat turut serta ke kejohanan kali ini juga.

"Dalam kejohanan bawah 17 tahun yang akan datang, sekiranya ada pemain yang baik, kita pasti akan memanggil mereka untuk pemilihan. lagipun, kita perlu memilih pemain yang terbaik untuk mewakili negara.

"Kita masih tidak mempunyai pemain dengan ketinggian yang setanding dengan negara yang lain. namun, kita perlukan pemain yang efektif. Asas bola keranjang untuk pemain-pemain masih perlu diasah lagi," kata Lee.

Tambahnya, semua pemain dalam pasukan kali ini telah mencapai sasaran awal dan menunjukkan peningkatan prestasi mereka sendiri.

"Yang saya ingin lihat sekarang, kalau kita ingin melihat penambaikan prestasi anak muda kita, kita perlu maju bersama dalam satu pasukan," katanya.

Lihat Komen
ADS