Paling Popular
Terkini

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) ternyata memang sengaja tidak melepaskan pemainnya untuk menghadiri latihan pusat skuad bawah 22 tahun (B-22) Malaysia bagi persediaan berdepan pasukan Myanmar pada aksi persahabatan Khamis ini.

Perkara itu disahkan Presiden FAP, Zairil Khir Johari, ketika dihubungi Malaysiakini Sukan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut faktor keengganan pasukan melepaskan tiga pemain Harimau Kumbang yang dipanggil jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017, Datuk Ong Kim Swee.

Kepadatan jadual perlawanan dalam saingan liga Malaysia yang sedang berlangsung dilihat menjadi sebab S Kumaahran, Jafri Firdaus Chew dan Syamer Kutty Abba tidak dilepaskan pengurusan pasukan berkenaan.

Terdahulu, Kim Swee sudah memanggil 26 pemain untuk melapor diri di kem latihan yang bermula pada 5 Julai lalu.

Namun hanya enam pemain yang hadir dan empat daripada pemain terbabit kemudian dibenarkan kembali ke pasukan untuk beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Sementara itu, Zairil berkata, pihaknya akan membuat keputusan pada hujung minggu ini sama ada akan melepaskan pemain tersebut atau sebaliknya.

Skuad B-22 perlu membuat persiapan bagi menggalas cabaran negara menjelang saingan Kelayakan Piala AFC 2018 di Bangkok, Thailand dari 19 hingga 23 Julai 2017.

"Belum ada keputusan, hujung minggu nanti (keputusan). Untuk perlawanan dengan Myanmar kita tak lepaskan (pemain)," katanya.

Pulau Pinang yang kini dikemudi oleh Zainal Abidin Hassan bakal menerima kunjungan kelab PKNS FC dalam perlawanan ke-15 Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan, Seberang Prai Selatan, malam ini.

Mereka kemudian dijadualkan bertemu Melaka United pada aksi seterusnya 15 Julai ini.

Skuad Harimau Kumbang kini berada pada kedudukan terakhir Liga Super 2017 dengan risiko besar tersingkir ke Liga Perdana musim depan sekiranya gagal memperbaiki prestasi dalam baik lapan perlawanan musim ini.

 

Lihat Komen
ADS