Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bulan November 1974 Universiti Malaya sedang bercuti sebelum masuk ke penggal ketiga. Kuliah bermula kembali pada awal Disember. Manakala peperiksaan bermula bulan Januari. Bulan Mac, April dan Mei cuti panjang.

Pada bulan November 1974, ketika pelajar sedang bercuti, rakyat Baling, Kedah telah keluar berdemo. Penduduk miskin desa telah menjadi papa kedana kerana harga getah gila menurun. Ini dihantui pula oleh hujan monsun yang tidak henti-henti. Hasilnya orang kampung tidak dapat menoreh. Ramai yang mula kebuluran tanpa makanan.

Saya masih ingat lagi tentang berita Demo Baling 74 yang saya baca dari akhbar Strait Times . Akhbar Inggeris ini melaporkan “ Hunger Strike in Baling ”. Berita kecil ini dicetak tebal hitam – ertinya satu berita penting. Ini berita demo pertama.

Pada ketika berita ini muncul ketua pengarang Straits Times ialah Samad Ismail. Dari segi sejarah Samad Ismail ini ada orang kiri bawah tanah. Saya telah difahamkan perkara ini dengan jelas. Malah ketika saya di Australia (1976/77), Samad Ismail telah ditangkap dibawah ISA.

Akhbar Parti Komunis Australia – yang berkempen untuk membebaskan Samad - telah melaporkan nama Zainal/Lainaz – nama bawah tanah Samad Ismail dalam Parti Komunis Malaya. Zainal/Lainaz – seakan-akan bunyi Lenin. Ini mengikut surah Parti Komunis Australia.

Ketika Demo Baling 74 di Kedah, berlaku Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya ( PMUM) telah digantung. PMUM telah digantung pada 21 September 1974 kerana 'rampasan kuasa' pelajar yang menuntut agar Yunus Ali dan Hishamuddin Rais bersama para setinggan Tasek Utara dibebaskan dari penjara Ayer Molek.

Pada ketika itu Hishamuddin Rais adalah setiausaha agung PMUM dan juga presiden PMUM Majlis ke-17 yang baru dipilih. Arwah Yunus Ali ialah ahli majlis.

Sejarah telah merakamkan bagaimana pelajar dari Universiti Malaya telah bersetia kawan dengan setinggan Tasek Utara yang rumah-rumah mereka telah dirobohkan atas arahan menteri besar Osman Saat dari parti United Malays National Organisation yang baru saja menang besar dalam PRU4.

Keangkuhan parti ketuanan Melayu yang baru menang besar telah digemparkan oleh bantahan para setinggan Tasek Utara. Penduduk miskin kota telah berkhemah di hadapan pintu masuk bangunan kerajaan di Bukit Timbalan. Tindakan penduduk miskin kota bersama mahasiswa ini telah mula mengancam kuasa United Malays National Organisation. Lalu kami ditangkap dan dipenjarakan.

Tradisi melawan

Satu minggu kemudian, apabila saya dibebaskan dari penjara Ayer Molek dan pulang ke Lembah Pantai saya mendapati pejabat saya telah dikunci, dipaku dan disilang dengan papan. Satu minggu dipenjara telah mengubah landskap PMUM dan Universiti Malaya untuk selama-lamanya.

Di sini saya ingin merakamkan satu fakta sejarah. Apabila sahaja krisis berlaku di PMUM, pihak kerajaan telah mengambil kesempatan mengharamkan Kelab Sosialis. Kelab Sosialis UM adalah persatuan yang berdaftar di Pejabat Pendaftaran Persatuan. Kelab Sosialis bergerak bebas dan bukan di bawah naungan PMUM.

Sejarah merakamkan bahawa Kelab Sosialislah yang menerima serangan utama pada tahun 1974. Ini dilakukan kerana pengaruh Kelab Sosialis bukan hanya di Universiti Malaya malah telah mula berkembang ke Institut Teknologi Mara, di Kolej Pertanian Serdang, dan ke Universiti Sains Pulau Pinang. Menjadi penganut faham Sosialis pada ketika itu, sama seperti hari ini dilihat cool dan counter culture – melawan arus yang poyo.

Dari segi sejarah, Kelab Sosialis Universiti Malaya telah merubah corak gerakan pelajar di Tanah Melayu dan kemudiannya di Malaysia. Kelab Sosilis adalah gerakan pelajar avant garde yang memulakan garis 'perlawanan menentang penjajah' dari zaman Universiti Singapura. Tradisi melawan ini telah disambung apabila tertubuhnya Universiti Malaya di Lembah Pantai.

Di Universiti Singapura, Kelab Sosialis telah menjadi juru pemula para intelektual dan para seniman untuk bangun menentang penjajah British. Peranan Kelab Sosialis jelas dalam penubuhan parti PAP, dalam kerangka perjuangan Asas 50 dan dalam akhbar Utusan Melayu yang berpusat di Singapura ketika itu.

Tradisi melawan ini telah diteruskan di UM. Kelab Sosialis telah menentang barua-barua dan aparacik United Malays National Organisation. Dari segi sejarah Kelab Sosialis telah berjaya menjadikan parti ketuanan Melayu ini dipandang hina oleh mahasiswa, pelajar dan anak muda.

Pada tahun-tahun 70-an dalam Universiti Malaya tidak ada sosok muda yang memiliki hormat diri akan berani mengasosiasikan diri dengan parti ini. Jauh sekali untuk menjadi ahli. Para pensyarah juga akan merasa malu jika dilihat bersama United Malays National Organisation.

Ini tidak bermakna tidak ada pelajar atau pensyarah yang bekerjasama dengan parti ketuanan Melayu ini. Mereka bergerak secara senyap-senyap. Mereka tidak mahu dihina secara terbuka.

Buktinya: Anwar Ibrahim sendiri telah 'merahsiakan' keahliannya dalam United Malays National Organisation dari pengetahuan umum sehingga dibocorkan oleh Bonda Mak Yan pada tahun 1982.

Perbincangan rumpun buluh

Rahsia ini bocorkan oleh Mak Yan sesudah Anwar menjadi anggota United Malays National Organisation dan mahu bertanding jawatan. Ini fakta sejarah bukan tohmah.

Dari segi sejarah semenjak bulan September 1974 pelajar Universiti Malaya tidak lagi mempunyai perwakilan sah.

Perwakilan PMUM terakhir yang dipilih secara undian ialah Majlis ke-16 di mana Kamarazaman Yacob adalah presiden dan Hishamuddin Rais adalah setiausaha agung. Dalam Majlis ke-17 yang dipilih, presiden PMUM ialah Hishamuddin Rais dan timbalan ialah Zahid Hamidi.

Tanpa persatuan, tanpa pejabat, tanpa dana, hakikatnya agar sukar untuk bergerak. Tetapi para aktivis dan pemimpin mahasiswa UM tidak pernah putus asa. Kami terus bergerak menentang pencabulan hak asasi. Tanda tangan telah dipungut untuk membantah penyitaan rumah persatuan.

Akhirnya pelajar telah berdemo dalam kampus. Ketika ini Akta Pindaan AUKU 1974 belum wujud lagi. Anak lelaki Iskandar Kutty baru sahaja dilantik menjadi menteri pelajaran. Taring jahatnya belum keluar masih lagi tersimpan dalam gusi.

Untuk para mahasiswa 70-an di UM, pasti mereka teringat akan rumah persatuan, kafeteria tepi tasik, kedai buku, klinik gigi dan klinik kesihatan. Semua ini adalah hak milik PMUM termasuk khidmat kesihatan dan gigi yang diberikan percuma oleh PMUM.

Rumah persatuan terletak tidak jauh dari canselori. Ada jalan kecil menuruni bukit yang menyambungkan canselori dengan rumah persatuan. Di lereng bukit ini, di antara canselori dan rumah persatuan, ada satu rumpun buluh yang amat rendang.

Dari segi sejarah rumpunan buluh ini cukup penting. Banyak keputusan dalam bulan November 1974 hingga polis dan tentera masuk ke kampus UM pada malam 8 Disember 1974 telah dibuat di bawah rumpun buluh ini.

Hingga ke hari ini tidak ramai yang tahu bahawa pelbagai keputusan penting telah dibincang dan diputuskan di bawah pohon buluh ini. Saya tidak tahu sama ada buluh ini masih wujud atau tidak.

Utusan ke Baling

Semenjak saya meninggalkan kampus Universiti Malaya pada petang 9 Disember 1974, saya telah mengharamkan diri saya dari memasuki kampus UM.

Di bawah rumpun buluh ini Kelab Sosialis telah membincangkan apakah strategi tindakan yang wajib diambil sesudah menerima surat pengharaman dari Pejabat Pendaftaran Persatuan.

Saya masih ingat lagi bahawa kami akan menghantar surat jawapan mempertahan hak kami untuk berpersatuan. Tetapi PMUM telah digantung, keadaan kelam kabut, justeru kami dari

kelab tidak mahu mengheboh-hebohkan pengharaman kami.

Saya ingin merakamkan bagaimana di bawah rimbunan buluh ini Kelab Sosialis dan Persatuan Bahasa Tionghua telah mengadakan rundingan bekerjasama. Kerja sama ini terikat kerana ada anggota kelab yang juga menjadi aktivis penting dalam Persatuan Bahasa Tionghua.

Kelab Sosialis juga bekerja rapat dengan Students Christian Movement (SCM). Gerakan pelajar Katolik ini sedang bergerak cergas bawah bayangan teoloji pembebasan ( liberation theology ) yang sedang merebak di Amerika Latin.

Saya sebagai setiausaha agung PMUM masih lagi diiktiraf oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) justeru semua ahli PKPM menolak dan mengutuk penggantungan PMUM. Pejabat PKPM sendiri ada dalam bangunan rumah persatuan PMUM. Ini fakta sejarah.

Sesudah kami membaca berita Hunger Strikes in Baling, Kelab Sosialis telah mengadakan mesyuarat tergempar. Di bawah rumpun buluh itulah keputusan telah diambil.

Kelab Sosialis akan menghantar Abu Zer Ali – anak mahasiswa fakulti ekonomi tahun kedua – untuk pergi menyelidik apa yang telah berlaku di Baling Kedah.

Kami 'tong-tong' mengumpul dana untuk membolehkan Abu Zer naik van Straits Times ke Alor Setar dan kemudian ke Baling. Di bawah pokok buluh itu saya menunggu untuk mengetahui apa yang telah berlaku di Baling.

Bersambung...


Bahagian I: Sejarah Baling

ADS