Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

Kegagalan adalah anak buluh betong yang tidak diketahui siapa ibu dan bapa. Kejayaan adalah ‘gang bang’ yang menjemput banyak sosok yang akan mengaku ibu dan ayah. Kegagalan akhirnya akan mati sunyi bersendirian. Manakala kejayaan membawa banyak saudara mara, culai, menantu dan besan dan mereka berkenduri tak sudah sudah. Inilah yang berlaku kepada sejarah Baling 1974.

Ketika Anwar Ibrahim di tampuk kuasa, sebelum ditendang oleh anak lelaki Iskandar Kutty, ada beratus puluh yang mengakui bersama Anwar untuk menjadi Arab brother in Malaysia dan pergi ke Baling. Ini kerana di akhir ‘pengakuan’ bukan saja akan mendapat hadiah pink form – silap-silap dapat menjadi YB.

Ini amat berbeza ketika gelora REFORMASI turun ke jalan raya pada tahun 1999. Benggolan Mat Pink Form dan Mat Arab Brother in Malaysia ini tidak pula turun ke jalan raya. Menikus takut hilang kerja atau hilang pangkat. Walau pun pangkat ini diterima kerana telah mengakui bersama Anwar di Baling. Jawatan kerja pun bukan kerana kelayakan tetapi kerana mengaku ada bersama demo ‘Baling’.

Baling pekan kecil di wilayah utara Semenanjung ini memang bersejarah. Di sini dijalankan perundingan antara Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng pada tahun 1955. Pada bulan November 1974 ada dua tunjuk perasaan besar di Baling.

Puluhan ribu warga Baling keluar ke jalan raya berarak menuntut keadilan dari Razak Hussein. Empat puluh tahun kemudian - pada 6 April yang lalu telah diadakan satu rapat rakyat untuk mengingati kembali sejarah Baling 1974. Kali ini yang menyusun Baling 2014 ialah parti PAS.

Dalam tulisan ini saya ingin merakamkan satu sudut pandangan tentang Baling 1974. Ini hanya pandangan dari kaca mata saya. Saya tidak berani mengatakan ini adalah keseluruhan babak dan sejarah Baling 1974. Kawan-kawan yang lain wajib juga menulis sama untuk mengutarakan sudut pengalaman mereka pula. Mustahil enam orang buta itu dapat memberi gambaran sebenarnya seekor gajah.

Ketika warga Baling keluar ke jalan raya November 1974 , saya BELUM pernah sampai ke Baling. Saya hanya berjaya sampai ke Baling pada tahun 2006. Tetapi babak pertama hidup saya telah tersangkut kuat dengan Baling. Saya berkelana ke seluruh dunia selama 20 tahun sesudah berlakunya Baling 1974. Babak Kedua hidup saya adalah merantau. Ketika dalam perantauan saya terus disabitkan dengan Baling 1974.

Dari benua ke benua, di mana sahaja berhenti dan bertemu warga Malaysia mereka akan bertanyakan Baling 1974. Pertanyaan spontan ini sebenarnya adalah tanda setiakawan. Tanda mereka menyokong apa yang telah berlaku di Baling pada tahun 1974.

Pada bulan April 2014 ini adalah lucah, salah dan tidak jujur jika saya tidak merakamkan nama-nama pemimpin mahasiswa yang turut sama terlibat dalam Baling 1974. Dari fakta sejarah pemimpin PMUKM seperti Idris Jusi, Rahman Rukaini dan Halim Arshad terlibat sama. Pemimpin KSITM seperti Ibrahim Ali dan Darby memainkan peranan.

Dari PMUSM Kamal Selamat atau Bung Selamat turut sama. Ini termasuk pemimpin pelajar dari Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan Politeknik Ungku Omar Ipoh – yang hingga ke hari ini sejarah gagal merakamkan nama-nama mereka.

Antara nama-nama yang saya rakamkan di sini ada nama yang menjijikkan kerana keterlibatan mereka dalam organisasi rasis. Walau terlibat dalam lembaga rasis – ini tidak bermakna kita wajib melupakan peranan mereka dalam sejarah. Saya tidak berlaku adil kepada sejarah dan kepada diri saya sendiri jika saya mengenepikan nama Ibrahim Ali atau Idris Jusi. Mereka hadir pada tahun 1974.

Mereka adalah pemimpin pelajar pada ketika itu. Dari fakta sejarah mereka juga ditahan dibawa ISA kerana terlibat dalam Baling 1974.

Sejarah yang jujur akan merakam semua yang terlibat – dari kiri dan dari kanan. Justeru saya akan berlaku TIDAK jujur jika saya mengatakan si anu dan si polan tidak bersama Baling 1974.

Apa yang terus berlegar dalam kepala saya hingga ke hari ini – siapakah ribuan mahasiswa yang turun berdemo itu? Di mana mereka sekarang? Apa yang telah dan sedang mereka lakukan? Hakikatnya sejarah wajib terus merayakan ribuan mahasiswa mahasiswi dari UM, UKM, ITM, USM, ITK, Politeknik Ungku Omar dan pelajar yang lain yang turun sama ke jalan raya pada Disember 1974.

Mustahil saya mengenali mereka semua. Mustahil saya mengingati nama-nama 8,000 orang ahli PMUM. Tapi wajah-wajah muda mereka tidak pernah luput dari ingatan. Wajah-wajah mahasiswa yang berdemo pada tahun 1974 telah saya bawa berkelana ke empat benua. Sama ada saya di Melbourne, Hong Kong, Karachi, Paris, Wavre atau Brixton wajah-wajah ini segar dalam ingatan.

Ini kerana anak-anak muda 1974 inilah yang memberikan keyakinan kepada roh saya bahawa apa yang sedang saya lakukan adalah tepat dan benar.

Justeru, ribuan mahasiswa mahasiswi yang turun berdemo pada Disember 1974 wajib sama dirayakan sebagai protoganis Baling 1974. Tanpa mereka Ibrahim Ali, Kamrazaman Yacob, Adi Satria, Hamzah Kassim,Halim Arshad, Rahman Rukaini, Idris Jusi, Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais tidak akan wujud. Juga wajib sama dirayakan oleh sejarah ialah puluhan ribu warga warga miskin desa dari Sik, Baling, Tikam Batu dan wilyah Utara Kedah yang telah turun ke jalan raya berdemo pada November 1974.

Ketika demo pertama di Baling saya dan kawan-kawan di kampus Universiti Malaya tidak mengetahui apa yang telah terjadi di Kedah. Pada bulan November 1974 kami sedang bercuti sebelum masuk penggal ketiga – penggal peperiksaan.

Pada ketika itu bangunan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) telah dikunci, dipaku dan menjadi kawasan larangan. PMUM sebagai satu organisasi pelajar telah digantung. Ini adalah hasil dari tunjuk perasaan siswa UM yang menyokong Gerakan Penduduk Miskin Kota di Tasik Utara pada 19 September 1974.

Kerana berdemo di Tasik Utara di Johor Bahru, kerana menyokong para Setinggan Tasik Utara saya bersama arwah Yunus Ali telah ditahan dan dimasukkan ke penjara Air Molek selama satu minggu.

Beberapa hari kemudian penahanan bertambah lagi dengan masuknya Khoo Su Wan dari UM dan Chia Yong Tai mahasiswa dari Universiti Singapura bersama tiga warga Miskin Kota. Ketika dalam penjara Air Molek saya adalah Setiausaha Agong PMUM Majlis ke-16 dan baru sahaja dilantik untuk menjadi Presiden PMUM Majlis ke-17.

Di Univeristi Malaya, ketika kami ditahan telah berlalu bentrokan.

Mahasiswa dan kepimpinan PMUM telah merampas dan mengambil alih Universiti Malaya. Mereka merampas UM dengan tuntutan agar kami di Air Molek dibebaskan. Mengambil alih universiti adalah satu tindakan radikal yang menjadi trend mahasiswa pada ketika itu - dari Berkeley, ke Oxford, ke Sorbbone ke Adeleide hingga berjaya dilakukan di Universiti Malaya.

Rampasan kuasa mahasiswa ini telah dipatahkan oleh kumpulan yang memanggil diri mereka MTN – Majlis Tertinggi Nasionalis. Sebenarnya di belakang MTN ini ialah satu lembaga rasis ala fasis yang muncul beroperasi untuk kali pertama di Universiti Malaya.

Lembaga rasis ini diberi nama BTN – Biro Tata Negara. BTN ini adalah anak syarikat United Malays National Organisation. Organisasi rasis BTN ini masih wujud hingga ke hari ini. Masih menjalankan program rasis.

MTN bersama BTN dengan cara ganas ala fasis didakwa telah menangkap pemimpin PMUM. Kekecohan yang disusun dan yang dirancang ini telah membawa ketegangan. Suasana ini telah ‘menghalalkan’ penggantungan PMUM oleh pihak universiti dan kerajaan. Ini sebelum secara resmi diperkenalkan pindaan AUKU 1974.

PMUM pada ketika itu adalah persatuan pelajar yang kedua terkaya sesudah Australian Union of Students. Dengan ahli seramai 8,000 lebih, PMUM memungut yuran wajib sebanyak RM24 seorang untuk setiap tahun. PMUM bergerak secara demokratik. Pemimpin dipilih melalui undian.

Selain dari dana yuran, PMUM juga memiliki perniagaan – kafeteria, kedai gunting, kedai buku, bilik biliard, kantin dan bilik tumpangan. PMUM juga memiliki empat buah bas, van, motosikal dan kelengkapan mesin cetak. Bas PMUM berjalan di sekitar PJ dan Kuala Lumpur memungut pelajar masuk dan pulang ke kampus secara percuma.

Dengan dana yang lumayan PMUM juga mengeluarkan pinjaman kepada pelajar. Saya amat yakin ramai pelajar terutama yang BUKAN BUMIPUTERA, yang sekarang menjadi ‘orang besar-besar’ telah mendapat dana pinjaman dari PMUM.

Saya memberi latar ini agar para pembaca dapat memahami suasana gerakan pelajar pada ketika itu. PMUM yang tersusun rapi ini memiliki keupayaan – keintelektualan dan dana - untuk menentang dan memperlekehkan dasar anti rakyat yang diajukan oleh United Malays Natyional Organisation.

PMUM dari segi sejarah sentiasa menyebelahi rakyat tertindas. Baling hanya salah satu dari sejarah PMUM bersama rakyat.

Bersambung...