Dalam Kongres Pendidikan Melayu Kedua (KPM2) anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) pada 26 dan 27 Mac 2005 di Kuala Lumpur, didedahkan bahawa setengah juta pelajar Melayu akan tercicir jika program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan.

Justeru itu, sidang pleno kongres tersebut, sebulat suara meminta supaya kerajaan menghentikan pelaksanaan PPSMI dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua subjek, termasuk di universiti.

Pendedahan menggemparkan itu dan rumusan tegas KPM2 meminta dihentikan pelaksanaan PPSMI, memberi impak yang begitu besar sekali sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju untuk mengkaji semula program tersebut.

Namun, tidak sampai seminggu selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, merangkap ketua Biro Pendidikan Umno berkata, sebarang langkah kembali untuk kepada dasar lama itu, tidak boleh dilakukan secara ad-hoc, Tun Dr Mahathir Mohamad, mentor politik Najib dan bekas perdana menteri yang memperkenalkan dasar tersebut, juga tampil mempertahankan dasar yang dipertikai itu (sila merujuk Rencana, Utusan Malaysia 29 Mac 2005).

Belum sempat lagi kajian semula yang dijanjikan Perdana Menteri Abdullah itu dimulakan, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein lantas mengambil pendirian menyokong Mahathir dan Najib (sila merujuk Wawancara, Mingguan Malaysia, 3 April 2005), lalu diisytiharkan bahawa PPSMI akan diteruskan sehingga tahun 2007 dan selepas itu barulah kajian semula akan dibuat.

Jika keputusan untuk mengkaji semula PPSMI atas desakan KPM2 boleh dianggap sebagai tindakan secara ad-hoc, maka pelaksanaan program tersebut oleh Dr Mahathir tiga tahun lalu tentu lebih bersifat ad-hoc. Malah pembatalan keputusan untuk mengkajinya semula juga sama sifatnya. Jika diteliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh Dr Mahathir dan Hishammuddin dalam wawancara mereka baru-baru ini, banyak juga yang boleh disifatkan sebagai ad-hoc!

Menurut Hishammuddin, PPSMI bertujuan untuk melahirkn generasi yang mampu berfikir dan melahirkan idea berkaitan sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, selain berkebolehan membentangkan idea-idea mereka itu dengan fasih dalam bahasa berkenaan.

Malah, Dr Mahathir menganggap di zaman ini, bahasa Inggeris sudah jadi bahasa universal, semua ilmu terdapat dalam bahasa Inggeris (Hishammuddin mengatakan lebih 80 peratus ilmu pengetahuan dalam Internet menggunakan bahasa Inggeris).

Bahasa lain tidak layak?

Tambah Dr Mahathir lagi, kita boleh menguasai ilmu secara langsung melalui bahasa Inggeris, dan melalui penggunaan bahasa Inggeris, ia akan difahami oleh majoriti manusia.

Mengikut logik Dr Mahathir, bukan saja bahasa Melayu, Cina dan India, malah semua bahasa selain daripada bahasa Inggeris baik bahasa Jerman, bahasa Perancis atau bahasa-bahasa Eropah, bahasa Arab, bahasa Jepun atau bahasa-bahasa Asia, Afrika dan Latin Amerika kesemuanya tidak layak menjadi bahasa pengantar.

Bukan saja dalam matapelajaran sains dan matematik, tetapi juga dalam subjek-subjek lain, kerana mengikut teori Dr Mahathir, semua bahasa lain memang tidak seuniversal dan sepenting bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.

Namun jika ditinjau dari perspektif sejarah, kita mengetahui bahasa Cina, bahasa Arab dan bahasa Jerman juga, pada suatu ketika dahulu, merupakan bahasa ilmu, termasuk sains dan teknologi, tetapi pernahkah bahasa-bahasa lain dinafikan peranan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara-negara yang terbabit?

Tiada sesiapa yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang pengetahuan, terutamanya sains dan teknologi, dan keperluan untuk menguasainya sebagai bahasa kedua atau bahasa asing.

Namun, jika kerana kepentingan bahasa Inggeris pada zaman ini, maka ia dianggap sebagai bahasa universal atau bahasa ilmu, dan bahasa-bahasa bangsa lain dianggap sebagai bukan bahasa ilmu, dan tidak layak menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara terbabit, maka tidakkah ini mirip dengan teori penaklukan/hegemoni kuasa besar?

Jika bahasa Inggeris terlalu diagung-agungkan sehingga generasi baru kita kelak akan menuntut ilmu dan dididik melalui bahasa asing itu, maka di manakah kedaulatan bahasa kebangsaan negara kita dan bahasa-bahasa ibunda bangsa-bangsa yang lain?

Bagaimana pula jati diri Malaysia jika generasi baru kita dididik melalui bahasa asing yang terlalu diagung-agungkan itu, meskipun negara kita sudah hampir setengah abad mencapai kemerdekaan?

Belajar dari pengalaman DJZ!

Jika bahasa kebangsaan bahasa Cina dan bahasa India dianggap tidak layak menjadi bahasa pengantar sains dan matematik walaupun di sekolah rendah dan sekolah menengah, maka di mana pula nilai bahasa-bahasa terbabit? Dan bagaimana pula ianya akan dipandang berat dan ditingkatkan nilai penggunaan?

Bila ditanya mengenai kajian yang dibentangkan dalam KPM2 yang mendapati setengah juta pelajar Melayu akan tercicir dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, Hishammuddin mengaku beliau masih belum lihat kajian itu, tetapi sudah mencapai kesimpulan bahawa ia cuma satu andaian, seperti yang dianggap oleh pegawainya.

Namun, menurut kajian Dong Jiao Zong (DJZ) sebelum ini, pelajar SJKC yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah kebangsaan akibat penukaran bahasa pengantar dari bahasa ibunda/Cina kepada bahasa kebangsaan/Melayu kira-kira 50 peratus sahaja yang akan lulus dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan yang akan lulus dalam pepereksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tinggal kira-kira 25 peratus sahaja.

Jika berdasarkan kepada keciciran 75 peratus pelajar Cina itu akibat penukaran bahasa pengantar maka bukanlah sesuatu yang mustahil dan menghairan apabila setengah juta pelajar Melayu keciciran akibat pelaksanaan program PPSMI. Hishammuddin tidak patut menganggap hasil kajian terbabit sebagai cuma satu andaian sahaja.

Padahal, DJZ amat berpengalaman dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Ramai sekolah menengah swasta gagal dalam percubaan yang sama atas hujah-hujah yang seakan-akan serupa. Akhirnya mereka terpaksa berpatah balik menggunakan bahasa Cina/ibunda sebagai bahasa pengantar untuk meningkatkan pencapaian akademik.

Pengalaman pahit inilah yang menyebabkan DJZ menentang program PPSMI, dan berkali-kali meminta untuk bertemu Perdana Menteri Abdullah bagi menceritakan pengalaman pahit tersebut.

Bagaimanapun permintaan DJZ masih belum diperkenankan hingga sekarang, sungguhpun tiga tahun program tersebut dilaksanakan, dan impak buruk terhadap pelajar Melayu telah disedari dan didedahkan dalam KPM2!

Jika kerajaan BN berkeras untuk meneruskan program tersebut, siapakah yang akan bertanggungjawab jika keciciran besar pelajar tersebut terbukti benar?