Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Hubungan yang rapat dan curahan jasa tidak terbanding kadang-kadang boleh mendorong seseorang melakukan perbuatan luar biasa.

Bagi Datuk Fazley Yaakob, kegembiraan dan kesayuan membawa dia nekad berkunjung ke kubur arwah ayahnya semata-mata untuk 'meraikan' kejayaan memenangi dua anugerah setahun.

Tindakan Fazley, 39, yang boleh dianggap di luar jangkaan itu didorong perasaannya mahu mendedikasikan kemenangan itu dengan arwah bapa- individu yang pernah menyokong peuh kerjayanya, iaitu Datuk Yaakob Mohammad.

“Disebabkan terkilan dengan ketiadaan ayah untuk menyaksikan kemenangan dan dia pula baru meninggal - kurang dari seratus hari - saya pergi ke pusaranya bersendirian di Bukit Kiara pada jam 10 malam.

"Saya ke sana untuk ‘menceritakan’ kemenangan yang saya diperoleh.

“Saya membawa trofi yang dimenangi ke kubur ayah. Berada di sana sedikit menenangkan, dan sempat saya membacakan Yasin untuk arwah,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa Indigital Music dengan anak yatim di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.

Bergaya di Barcelona

Fazley sebelum ini memenangi Anugerah Selebriti Cef Pilihan Online anjuran sebuah portal atas talian, mengalahkan beberapa nama tukang masak terkemuka lain seperti Cef Wan dan Cef Adu.

Untuk anugerah kedua, Fazley diiktiraf mengungguli Anugerah Buku Masakan Gourmand.

Penyanyi lagu Asmara Ini berkenaan dinobatkan tempat pertama selepas mempertaruhkan buku masakannya My Sucre Story.

Ia adalah pertandingan pertama yang disertai dan acara itu diadakan di Barcelona, Sepanyol.

Arwah Yaakob meninggal dunia di sebuah hospital di Damansara pada 8 Februari lalu kerana mengalami komplikasi paru-paru.

Selain menjadi tukang masak Fazley turut terkenal sebagai penyanyi, pelakon dan perunding motivasi.

Melihat kepada siri kerjayanya itu mungkin ada beranggapan terlalu banyak pekerjaan yang dilakukan Fazley pada satu-satu masa.

Namun bagi Fazley ia bukan terlalu sukar untuk diuruskan.

“Semuanya berjalan seiringan. Rutin harian saya bermula pada sebelah pagi dengan memberi motivasi, tengah hari memasak dan petang menyanyi.

“Justeru di pejabat saya perlu tersedia tiga jenis baju, iaitu untuk memasak, membuat persembahan dan memberi motivasi," katanya.

Namun ada juga kerjaya yang terpaksa 'dikorbankan' Fazley - lakonan.

Pesan jaga 'bidadari'

Kata pemenang rancangan realiti memasak Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama itu, jadual disusun terlalu padat dan dia tidak mampu memenuhi keperluan sebagai pelakon.

Bagaimanapun, antara semua bidang diceburi, satu daripadanya memerlukan sepenuh perhatian daripada Fazley.

“Dalam permintaan terakhir arwah ayah, dia meminta saya tidak sesekali meninggalkan bidang nyanyian.

"Ayah menjadi antara individu paling tegar menyokong karier saya sejak munculnya lagu Asmara Ini 12 tahun lalu," katanya.

Untuk menghargai segala pengorbanan bapanya Fazley bercadang menghadiahkan sebuah album untuk lelaki istimewa di hatinya itu.

Album berjudul Lima itu sudah mula dirakamkan ketika Yaakob uzur namun takdir menentukan segalanya.

Bekas setiausaha kerja Umno itu tidak sempat melihat album berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan Julai ini.

Namun dua daripada lagu itu memang dikhususkan untuk Yaakob, iaitu Sayang Papa dan Teristimewa.

Menceritakan keadaannya kini, Fazley berkata, rindu yang menebal menyebabkan dia berasa mengalami kehilangan besar kini.

Namun dia masih ingat pesan ayahnya.

“Ayah sempat juga berpesan supaya menjaga bidadarinya yang ditinggalkan.

“Bidadari itu adalah ibu. Saya berjanji menjaganya sehingga 200 peratus, Tanggungjawab itu akan dipikul sehabis baik kerana saya menjadi anak sulung daripada empat beradik,” katanya.

Lihat Komen
ADS